Anda di sini

Aliran masuk modal pelabur asing petanda prospek pemulihan ekonomi Malaysia yang lebih cerah

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia terus mencatat aliran masuk bersih modal pelabur asing dengan sejumlah RM7.7 bilion dicatatkan bagi bulan Ogos 2021. 

Ini merupakan nilai yang tertinggi semenjak Jun 2020 dan telah mengimbangi aliran keluar bagi dua bulan sebelum itu, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (gambar).

Pelabur asing telah menjadi pembeli utama dengan pelaburan bersih di pasaran bon ringgit berjumlah RM6.6 bilion (Julai 2021: -RM3.6 bilion) dan RM1.1 bilion (Julai 2021: -RM1.3 bilion) bagi pasaran ekuiti negara, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aliran masuk bersih modal pelabur asing ini didorong oleh kemajuan positif Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah menambah baik situasi keseluruhan kesihatan awam, serta membenarkan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), tambah menteri kewangan itu.

Ini menetapkan nada dan hala tuju bagi pemulihan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh untuk suku keempat 2021.

“Walaupun tinjauan ekonomi Malaysia terus berhadapan dengan cabaran oleh peningkatan kadar jangkitan yang berterusan, kemajuan positif vaksinasi dan pengawalan kes COVID-19 yang kritikal dijangka akan mendorong pertumbuhan.

“Tambahan lagi, beberapa negeri telah beralih ke Fasa 2 dan 3 PPN,” ujar beliau.

Ini termasuk Lembah Kelang dan Putrajaya yang telah beralih ke Fasa 2 pada 10 Sept, 2021, yang akan membolehkan pembukaan ekonomi yang lebih meluas bagi negeri-negeri dengan populasi yang padat.

"Prospek pertumbuhan yang lebih baik ini telah mengembalikan keyakinan pelabur terhadap pasaran modal Malaysia," kata Tengku Zafrul. 

Semenjak Jun 2019, bulan Ogos 2021 merupakan bulan pertama yang mencatat pembelian bersih oleh pelabur asing di pasaran ekuiti Malaysia dan ini menunjukkan penjualan bersih atau aliran keluar pelabur asing yang semakin berkurangan, katanya.

Selain itu, indeks penanda aras utama Malaysia, FBM KLCI yang telah menurun sebanyak 5.7 peratus setakat tahun ini, berjaya pulih pada kadar 50 peratus berbanding kerugian semenjak dua minggu yang lalu.

Justeru, ini merupakan bukti keyakinan pelabur dan pengurus dana terhadap prospek pertumbuhan negara, serta kesinambungan dasar-dasar kerajaan, tambah Tengku Zafrul. 

Dalam pada itu, nilai harga pasaran ekuiti negara yang lebih menarik berbanding pasaran ekuiti negara lain di rantau ini juga menjadi tarikan utama aliran masuk dana pelabur asing, jelas beliau.

Sementara itu, dari segi pasaran bon ringgit, aliran masuk pelabur asing pada Ogos 2021 tertumpu kepada terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang bernilai RM3.1 bilion (Julai 2021: -RM3.6 bilion); dan terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) sejumlah RM3.2 bilion (Julai 2021: RM425 juta). 

Bagi pasaran bon korporat pula, aliran masuk pelabur asing juga telah mencatatkan nilai yang lebih tinggi, iaitu RM267 juta (Julai 2021: +RM62 juta).

Setakat hujung Ogos 2021, pegangan pelabur asing bagi bon kerajaan meningkat sebanyak RM23.9 bilion kepada RM226.1 bilion, merangkumi RM191.7 bilion atau 40.3 peratus daripada jumlah MGS; dan RM34.4 bilion atau 8.6 peratus daripada jumlah MGII.

Sementara itu, setakat akhir Jun 2021, lebih daripada 50 peratus pegangan bagi bon Kerajaan Malaysia dipegang oleh pelabur jangka panjang seperti pelbagai bank-bank pusat dan kerajaan (32.4 peratus); dana persaraan (18.4 peratus); dan syarikat insurans (2.2 peratus).

Menyentuh mengenai prospek pula, Tengku Zafrul berkata suku keempat 2021 dijangka lebih cerah kerana kadar vaksinasi yang terus dipertingkatkan akan membolehkan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi. 

Ini akan meningkatkan prospek peningkatan penggunaan dari permintaan terpendam isi rumah dan perniagaan, katanya.

Bagaimanapun, beliau menambah prospek untuk suku ketiga 2021 dijangka terus mencabar ekoran Fasa Satu yang berpanjangan bagi beberapa negeri seperti Selangor yang merupakan penyumbang besar kepada KDNK negara.

Faktor lain yang akan mendorong prospek pertumbuhan Malaysia termasuklah permintaan luaran yang lebih memberangsangkan bagi produk seperti elektrik dan elektronik (E&E) dan hidrokarbon; kenaikan harga komoditi, serta pelaburan yang berterusan bagi projek infrastruktur berskala besar dengan kesan pengganda yang tinggi. - BERNAMA
 

Advertisement