Anda di sini

Papar kisah dan wira tempatan dalam subjek sejarah

Advertisement
Bekas perajurit negara Kapten (B) V. Panirchellvum berharap mata pelajaran Sejarah perlu ditambah baik dengan memaparkan lebih banyak kisah serta peristiwa tokoh dan wira tempatan sebagai usaha menyuburkan semangat patriotisme. -Gambar Bernama.
Bekas perajurit negara Kapten (B) V. Panirchellvum berharap mata pelajaran Sejarah perlu ditambah baik dengan memaparkan lebih banyak kisah serta peristiwa tokoh dan wira tempatan sebagai usaha menyuburkan semangat patriotisme. -Gambar Bernama.

KUALA LUMPUR: Mata pelajaran Sejarah perlu ditambah baik dengan memaparkan lebih banyak kisah serta peristiwa tokoh dan wira tempatan sebagai usaha menyuburkan semangat patriotisme.

Bekas perajurit negara Kapten (B) V. Panirchellvum berkata langkah itu akan membantu membentuk jati diri dalam kalangan generasi muda bermula dari bangku sekolah lagi sekali gus menanamkan semangat cintakan negara.

"Generasi hari ini tidak pernah melalui semua 'kesusahan' yang dihadapi pada zaman 1950-an hingga 1970-an, menyebabkan semangat patriotisme kurang dalam jati diri masing-masing. 

"Jadi, apa salahnya beri penekanan terhadap kepentingan mata pelajaran dan ubah suai kandungannya agar golongan ini tahu sumbangan dan pengorbanan yang dimainkan oleh tokoh dan wira daripada pelbagai kaum di negara ini," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya dengan cara itu juga perpaduan dalam kalangan masyarat pelbagai kaum di negara ini terutama generasi muda dapat diperkukuh dan tidak mudah goyah apabila timbul sesuatu isu yang menyentuh sesuatu kaum. 

Panirchellvum, 67, pernah dikurniakan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada 7 Jun 1978 atas keberanian bersama pasukannya membunuh tiga pengganas komunis dan menahan seorang daripada mereka menerusi Operasi Pagar pada 14 Feb 1977 di Ayer Kala, Gerik, Perak.

Mengimbas kembali kejadian berkenaan, Panirchellvum yang ketika itu berpangkat Leftenan Muda dari Platun 8, Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja (3RRD), ditugaskan mengetuai empat lagi anggotanya melakukan serangan hendap terhadap pengganas komunis dalam Operasi Pagar.

Pasukan mereka yang terdiri daripada Koperal Kamarudin Abdullah, Lans Koperal Hasan Awang, Renjer Tahir Muhamad dan Renjer Rusip anak Ngadek, mendapat maklumat mengatakan kumpulan pengganas itu merancang mengambil bekalan makanan di Kampung Baru Ayer Kala, berhampiran Sungai Perak.

"Kami berlima yang digelar kumpulan pembunuh, menyamar sebagai polis dengan memakai pakaian seragam polis Field Force dan dibawa ke kem polis di Ayer Kala bagi mendengar taklimat akhir sebelum berjalan kaki lebih sejam ke Kampung Ayer Kala untuk memulakan operasi," kata Panirchellvum.

Sebaik tiba pada 7.45 malam, mereka meletakkan Claymore Mine (periuk api) di kiri dan kanan lokasi sebagai langkah berjaga-jaga sebelum beredar dan menunggu musuh untuk melalui kawasan itu.

Bagaimanapun, tanpa dijangka musuh telah berada hampir di belakang sehingga mereka dapat menyaksikan kelibat musuh yang membawa senjata api daripada samar-samar cahaya lampu picit musuh, diikuti kejadian berbalas tembak dengan pasukan komunis yang dianggarkan seramai 10 hingga 15 orang.

"Ketika itu, saya hanya dibekalkan lima bom tangan jenis M36 buatan Amerika Syarikat. Apabila bunyi gerakan semakin hampir, saya melepaskan pin dan melontarkannya ke arah bunyi gerakan sehingga tidak lagi mendengar sebarang bunyi daripada musuh," kata Panirchellvum yang menamatkan perkhidmatan pada 1985.

Dalam operasi itu mereka dapat membunuh ketua pasukan komunis berkenaan dan dua lagi anggota pasukan itu dan menahan seorang selain berjaya merampas dua laras senjata bersama peluru, bom tangan dan enam beg galas yang mengandungi makanan dan peralatan.

Sementara itu, pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam turut senada dengan pandangan Panirchellvum yang berpendapat buku teks Sejarah perlu ditulis semula dengan menambah fakta lebih jelas serta menonjolkan kisah tokoh pejuang kemerdekaan negara lebih mendalam.

Mengambil contoh buku teks Sejarah edisi baharu Tingkatan Empat, katanya penekanan dilihat lebih kepada topik sejarah negara luar sedangkan skop berkaitan sejarah tanah air dilihat sangat terhad sehingga membebankan bukan sahaja pelajar tetapi juga guru untuk memahaminya.

“Kita dapati dalam sesuatu isu seperti proses kemerdekaan, banyak tokoh luar yang diutamakan, sedangkan penceritaan tentang tokoh tempatan pula tidak jelas dan tidak fokus. 

“Tempat yang patut kita bincangkan mengenai sejarah negara kita telah diambil (mempelajari) sejarah negara lain. Jadi, bagi saya ini tidak elok. Macam mana kita nak lahirkan semangat patriotisme apabila cerita sejarah kita hanya disentuh sedikit,” katanya kepada Bernama.

Ramlah berkata lebih memburukkan lagi apabila berlaku perubahan terminologi selain ada beberapa fakta sejarah dilemahkan atau dilonggarkan dalam buku teks Sejarah. 

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar sejarah pasukan keselamatan negara seperti polis dan tentera dimasukkan dalam mata pelajaran Sejarah bagi menghargai kesungguhan dan pengorbanan mereka.

“Kita ada sejarah politik, pentadbiran dan sosial tetapi kita tiada sejarah pasukan keselamatan negara sedangkan mereka adalah tiang seri mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara sehingga sanggup bergadai nyawa,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement