Anda di sini

Rogol sepupu bawah umur, remaja dihantar ke Henry Gurney

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang remaja lelaki untuk dihantar ke Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo atas kesalahan merogol sepupu wanitanya yang berusia 15 tahun.

Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan pesalah muda yang berusia 15 tahun itu dihantar ke sekolah berkenaan selama tiga tahun berkuatkuasa hari ini, setelah meneliti laporan akhlak dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pada 25 Jun lalu, tertuduh mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
 
Justeru, mahkamah menetapkan kes disebut semula pada hari ini untuk mendengar laporan akhlak remaja tersebut.

Mengikut pertuduhan, remaja yang tidak diwakili peguam itu didakwa merogol mangsa dalam satu kejadian antara 1 Januari hingga 31 Disember 2019, di kediaman mereka yang terletak di Siburan, di sini.

Berdasarkan keterangan kes, ibu mangsa (pengadu) menyedari terdapat perubahan fizikal pada tubuh badan anaknya (mangsa) iaitu perutnya semakin membesar.

Pengadu seterusnya membawa mangsa ke klinik untuk pemeriksaan dan doktor kemudian mengesahkan mangsa mengandung selama lebih kurang tujuh bulan.  

Difahamkan, mangsa mengaku melakukan hubungan seks dengan sepupunya (pesalah muda), yang juga tinggal serumah dengan mangsa. 

Sehubungan itu, pengadu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. 

Sementara itu dalam satu kes berasingan, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun turut diperintahkan oleh Mahkamah Majistret di sini untuk dihantar ke Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo selama tiga tahun berkuatkuasa hari ini atas kesalahan merogol kekasih bawah umur berusia 14 tahun. 

Remaja lelaki tersebut mengaku bersalah mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan dilaporkan merogol mangsa dalam satu kejadian pada 6 Februari lalu, jam 8 pagi di sebuah pangsapuri terletak di Jalan Wan Alwi, di sini.

Berdasarkan keterangan kes, kedua-dua remaja tersebut pergi ke pangsapuri berkenaan untuk majlis sambutan hari jadi mangsa dan seterusnya melakukan hubungan seks. 

Kedua-duanya dilaporkan masih bersekolah dan merupakan pasangan kekasih yang telah menjalinkan hubungan sejak Disember 2020. 

Difahamkan, bapa mangsa membuat laporan polis sehingga membawa kepada penangkapan remaja tersebut.

Pesalah muda berkenaan diwakili peguam dari Simon Siah, Chua and Chow Advocates manakala pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, ASP Rogayah Rosli.
 

  • oleh
  • Advertisement