Anda di sini

JPJ Sarawak sedia kaunter pandu lalu, mudahkan urusan pelanggan

Advertisement
Norizan menyampaikan cenderahati kepada pelanggan yang menggunakan perkhidmatan kaunter pandu lalu.
Norizan menyampaikan cenderahati kepada pelanggan yang menggunakan perkhidmatan kaunter pandu lalu.

KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak hari ini merasmikan Kaunter Pandu Lalu JPJ Mobile yang menawarkan beberapa urus niaga bagi memudahkan urusan pelanggan.

Dirasmikan Pengarah JPJ Negeri, Norizan Jili di ibu pejabat JPJ Negeri di Batu 12 di sini, kaunter pandu lalu JPJ beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

Menurutnya perkhidmatan Kaunter JPJ Negeri di Batu 12 dibuka sepenuhnya untuk 'walk-in' mulai 9 September 2021 secara 'siapa cepat dia dapat' dan kehadiran pelanggan dihadkan mengikut kapasiti kaunter.

"JPJ menyediakan perkhidmatan pandu lalu khas bagi beberapa urus niaga.

"Antara urus niaga yang ditawarkan seperti Pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (CDL), Pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (cukai jalan persendirian), Pembayaran Saman (kecuali yang disenarai hitam) dan Kutipan Dokumen Cukai Jalan dan Lesen Memandu (CDL) bagi transaksi portal mySIKAP," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, selain di ibu pejabat, perkhidmatan Pandu Lalu JPJ juga dibuka di JPJ Cawangan Miri, Jalan Miri-Bintulu.

Sementara itu, Norizan turut menyerahkan Jalur Gemilang bersempena Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia kepada kakitangan serta pelanggan yang berurusan di JPJ Negeri bertempat di pekarangan Blok B JPJ Negeri Sarawak.

Program Kibaran Jalur Gemilang itu turut dilakukan di beberapa cawangan di seluruh negeri bagi meningkatkan semangat Kemerdekaan di kalangan kakitangan dan pelanggan yang berurusan di JPJ Sarawak.

Beliau pada masa yang sama turut menyampaikan cenderahati kepada pelanggan yang berurusan membayar saman semasa tempoh pengurangan saman 70 peratus JPJ ini yang berlangsung sehingga pertengahan bulan ini.

Ia bagi memberi galakan pelanggan untuk membayar semua saman yang tertunggak dengan mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.

Pihak Pengurusan JPJ Negeri juga sentiasa memastikan segala SOP yang telah ditetapkan dipatuhi.

Turut hadir pada program perasmian Kaunter Pandu Lalu JPJ Mobile, Timbalan Pengarah JPJ Negeri Sarawak Erick Jusiang dan Ketua Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat Christopher Alex.
 

Advertisement