Anda di sini

Syarat MM2H: Pentingnya tempoh sesuai dan pandangan pihak berkepentingan

Advertisement
 

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

‘Berapa jauh seluang melaut, akhirnya balik ke tepi pantai juga’, peribahasa yang tepat bagi menggambarkan lebih 50,000 ekspatriat yang menjadikan Malaysia rumah kedua mereka menerusi Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Antara faktor yang mendorong pemilihan itu ialah mereka telah ‘jatuh cinta’ dengan makanan dan kepelbagaian budaya yang dimiliki negara ini.

Di samping menikmati beberapa manfaat dengan tinggal di bumi bertuah ini, mereka juga secara dinamiknya menyumbang kepada keseluruhan ekonomi dan mewujudkan permintaan pasaran khusus terhadap lokasi yang memenuhi harapan tinggi mereka.

Sri Hartamas di Kuala Lumpur dan Batu Feringghi di Pulau Pinang merupakan antara kawasan yang telah menarik ekspatriat susulan geografinya yang strategik dan persekitaran.

Namun, program MM2H baru-baru ini menjadi perbualan hangat berikutan perubahan atau penambahbaikan ke atas kriteria yang perlu dipenuhi pemohon, dengan tinjauan mendapati lebih 90 peratus pemegang visa MM2H sedia ada dan yang berpotensi menjadi peserta MM2H tidak bersetuju dengan syarat baharu tersebut.

Kerajaan dalam pada itu menjelaskan penambahbaikan ke atas syarat berkenaan dilaksanakan bertujuan menarik pemohon berkualiti tinggi.

Bagaimanapun, persoalannya, adakah kini merupakan masa yang sesuai untuk berbuat demikian, dalam keadaan negara masih bergelut dalam usaha menangani penularan pandemik COVID-19?

Bilakah Masa yang Sesuai?

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Jabatan Ekonomi dan Perniagaan Tani, Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata perubahan boleh dilaksanakan, namun ia perlu dibuat secara bertempoh.

Beliau berkata ini dengan mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dalam dan luar negara kerana ekonomi-ekonomi di seluruh dunia masih berusaha untuk memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

“Perubahan sebegini tidak boleh dilakukan secara drastik. Ini kerana pasaran buruh sedang berada dalam keadaan yang agak lemah berikutan pandemik yang masih menjadi kebimbangan masyarakat dunia,” katanya.

Dari segi ekonomi tempatan pula, masih ramai yang terjejas secara langsung sejak berlakunya pandemik awal tahun lepas, sehingga mengakibatkan kadar pengganguran meningkat kepada 4.8 peratus atau melibatkan 768,700 orang setakat Jun 2021.

Justeru, perubahan atau penambahbaikan kepada program itu memerlukan dasar yang lebih sesuai dengan mengambil kira keadaan ekonomi serta perbelanjaan isi rumah dan profil pemegang MM2H pada masa kini.

Susulan itu, kerajaan perlu bersikap terbuka dalam menerima pandangan pemegang taruh dalam memperbaiki atau menambah baik dasar kerana pemegang visa MM2H terdiri daripada kalangan profesional dalam pelbagai sektor ekonomi yang secara langsung akan merancakkan ekonomi tempatan.

Kemungkinan Tarik Diri

Berikutan pengumuman mengenai penambahbaikan ke atas syarat MM2H, tinjauan TEG Media terhadap peserta MM2H mendapati wujud peningkatan ketara bagi kemungkinan tindakan menarik diri daripada program tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif,TEG Media, Andy Davison berkata berdasarkan tinjauan ke atas lebih 900 pemegang visa MM2H sedia ada dan yang berpotensi menjadi peserta, kira-kira 98 peratus responden dalam kedua-dua kategori tersebut tidak bersedia untuk memenuhi syarat yang ditambah baik itu.

“Majoriti tidak bersedia untuk meletakkan RM1 juta dalam akaun deposit tetap di Malaysia kerana mata wang tempatan mengalami penyusutan bagi tempoh yang agak lama, dan kadar faedah juga rendah,” katanya menerusi satu video di laman web mm2h.com.

Davison merupakan ekspatriat yang telah tinggal di Malaysia selama lebih 25 tahun dan TEG Media ialah ejen yang sah dan diluluskan untuk program MM2H.

Syarat baharu itu turut mencetuskan kebimbangan dan bantahan daripada individu dan organisasi memandangkan pemegang visa MM2H sedia ada juga akan tertakluk kepada perubahan itu, meskipun pada awalnya, ia dikatakan hanya untuk pemohon baharu.

Sekiranya mereka tidak layak, banyak wang akan mengalir keluar daripada ekonomi ini manakala hartanah akan dijual, sekali gus memberikan petanda tidak baik bagi Malaysia.

Berikutan itu, mereka kini mempertimbangkan semula sama ada ingin menyertai atau meneruskan dengan program ini, selain kemampuan untuk memenuhi syarat yang diubah tersebut.

Davison berkata menerusi tinjauan itu, kira-kira 500 individu atau 97.5 peratus yang kemungkinan menyertai MM2H mengatakan mereka tidak akan menyertai program tersebut dengan syarat berkenaan.

Kesan Riak Ekonomi

Menurut data Kementerian Dalam Negeri (KDN), program MM2H berupaya merangsangkan ekonomi negara dengan pendapatan nilai ditambah kasar terkumpul berjumlah RM11.89 bilion sejak 2002 hingga 2019 melalui fi visa, pembelian hartanah, pembelian kenderaan persendirian, simpanan tetap dan perbelanjaan bulanan isi rumah.

Berdasarkan data kolektif pada 2017 oleh sebuah jurnal tempatan, Tourism Management, pemegang visa MM2H yang berumur 60 hingga 69 tahun terutama dari Jepun, United Kingdom dan Australia, telah menetap di pelbagai lokasi di Malaysia selama 10 hingga 12 bulan.

Mereka telah membelanjakan purata RM6,030 sebulan, menyumbang RM1.68 bilion setahun kepada ekonomi Malaysia.

Bagaimanapun, pengumuman syarat-syarat MM2H yang ditambah baik itu adalah sesuatu yang agak mengejutkan memandangkan ia dilaksanakan ketika sektor hartanah negara sedang mengalami isu lambakan bekalan.

Antara syarat itu adalah pemegang visa MM2H perlu mempunyai pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM40,000 berbanding dengan RM10,000 yang ditetapkan sebelum ini selain mereka perlu membuktikan memiliki aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta (sebelum ini RM300,000-RM500,000).

Mereka juga perlu memiliki akaun simpanan tetap dengan sekurang-kurangnya RM1 juta dan tinggal di negara ini sekurang-kurangnya 90 hari dalam setahun.

KDN semasa mengumumkan cadangan penambahbaikan ke atas syarat program berkenaan menjelaskan syarat-syarat berkenaan tidak pernah diubah sejak 2002.

Menurut KDN, penambahbaikan itu bertujuan memastikan warga asing yang berhasrat tinggal di Malaysia di bawah program berkenaan ialah mereka yang berkualiti dan boleh menyumbang kepada ekonomi.

Profesor Madya Dr Wong Woei Chyuan dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan UUM menekankan selain menambah baik syarat ke atas peserta, program berkenaan juga perlu meningkatkan daya saing dan tarikannya.

“Malaysia mempunyai banyak kelebihan yang unik, tetapi, kita mestilah menjadi berdaya saing.

“Penglibatan yang lebih kukuh bersama-sama dengan pihak berkepentingan perlu dilaksanakan untuk merangka rancangan bagi menarik Individu Memiliki Kekayaan Bersih Tinggi dan keluarga mereka tinggal di Malaysia, atau kita akan kehilangan hasil yang boleh dijana daripada MM2H kepada negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia,” katanya. - Bernama 

Advertisement