Anda di sini

Para Sukma Johor 2020, Sarawak sasar 68 pingat emas

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak menyasar memenangi 68 pingat emas pada Sukan Para SUKMA 2022 yang akan diadakan di Johor Bahru.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Dato Sri Fatimah Abdullah juga berkata pada masa ini, jumlah atlet Para SUKMA adalah seramai 158 orang.

“Ia tertakluk kepada 'classification' dan tambahan Talent Identification serta 55 Pegawai. Sasaran untuk Para SUKMA di Johor adalah untuk mencapai sebanyak 68 pingat emas,” ujarnya semasa mempengerusikan satu sesi Zoom bersama Pasukan Sukan Para Sukma pada Khamis.

Mengulas lanjut Fatimah berkata, kontinjen Sarawak untuk Para SUKMA 2022 menggalas tanggungjawab yang sangat besar iaitu untuk menjadi juara Para SUKMA kali ke-14.

“Ia susulan kejayaan lima atlet Sarawak ke peringkat Paralimpik baru-baru ini, maka kontinjen Sarawak hilang lima atlet (Peraturan Para SUKMA) 'gold medalist' untuk Para SUKMA,” katanya lagi.

Tambahnya juga, pandemik COVID-19 telah memberi impak kepada pelan sesi latihan yang telah dirancangkan terutamanya apabila latihan terpaksa dibuat di rumah di bawah pemantauan jurulatih masing-masing menerusi sesi video YouTube.  

“Para atlet berhadapan pelbagai kekangan apabila berlatih di rumah iaitu kekurangan dari segi kesesuaian tempat (belakang rumah, ruang tamu, ruang dapur, dan lain-lain) serta peralatan yang tidak mencukupi atau telah uzur.  

"Jurulatih menghadapi cabaran dari segi tidak dapat mengadakan mini-competition dan tidak dapat khidmat dan pengesahan 'classifier' untuk kategori dua yang tertentu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ada atlet di bawah 18 tahun yang belum dapat divaksin,” jelasnya lagi. 

Dalam sesi tersebut juga Fatimah berkesempatan mengucapkan tahniah kepada atlet Sukan Paralimpik Tokyo 2020 iaitu Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Kie serta jurulatih Jamil Adam yang telah berjaya melatih atlet Para sehingga dapat mewakili Malaysia ke peringkat tertinggi, paralimpik.

Pada temasya sukan itu, Bonnie memenangi pingat emas kategori lelaki 72kg acara powerlifting dengan angkatan 228kg, yang juga merupakan rekod baharu Paralimpik manakala Yee Khie meraih perak kategori 107kg menerusi angkatan seberat 237kg.

Hadir sama dalam sesi tersebut adalah Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Francis Harden Hollis, Setiausaha KWKPK Dr Rashidah Bolhassan, Ketua Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak KWKPK Salina Bujang, pengurus, jurulatih, penggerak dan atlet daripada sepuluh pasukan sukan Para Sukma dalam Kontinjen Sarawak.

Turut serta ialah jurulatih Jamil dan para atlet Sukan Paralimpik Tokyo 2020 iaitu Bonnie, Jong, Wiro Julin, dan Mohammad Nur Syaiful, untuk berkongsi pengalaman mereka semasa kejohanan Tokyo Paralympik, selain memberi perangsang, inspirasi dan motivasi kepada jurulatih dan atlet Para Sukma sebagai salah satu persiapan untuk Para SUKMA di Johor pada 2022.
 

  • oleh
  • Advertisement