Anda di sini

Kumpulan Sawit Kinabalu serah RM20 juta dividen, sumbangan tabung COVID-19

Advertisement
 Hajiji (lima kanan) menerima replika cek RM10 juta bagi bayaran dividen interim daripada Bacho
TERIMA: Hajiji (lima kanan) menerima replika cek RM10 juta bagi bayaran dividen interim daripada Bacho

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menerima RM20 juta daripada Kumpulan Sawit Kinabalu sebagai pembayaran dividen dan sumbangan untuk Tabung COVID-19.

Daripada jumlah itu sebanyak RM10 juta adalah untuk pembayaran interim dividen bagi suku pertama dan kedua tahun 2021, sementara  baki RM10 juta untuk Tabung COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Sawit Kinabalu menerima replika cek berkenaan daripada Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Bacho Jansie dalam satu majlis penyerahan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri, semalam.

Hajiji berkata, walaupun berdepan dengan penularan pandemik COVID-19, Sawit Kinabalu terus menunjukkan prestasi cemerlang kerana mampu membayar dividen dan membantu untuk Tabung COVID-19.

"Saya berasa gembira dengan pencapaian cemerlang Sawit Kinabalu. Pembayaran ini jelas memenuhi aspirasi kerajaan negeri bahawa syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) hendaklah cekap dan membawa keuntungan.

“Kerajaan akan sentiasa menyokong industri sawit sebagai salah satu daripada sektor ekonomi kerana ia sejajar dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pertanian sebagai satu daripada tiga sektor utama pertumbuhan ekonomi negeri ini selain perindustrian dan pelancongan. 

"Ini juga satu bukti yang jelas betapa kerajaan mengambil serius mengenai pembangunan ekonomi negeri untuk membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat,” katanya. 

Sehingga kini katanya, Kumpulan Sawit Kinabalu adalah sebuah jentera pelaburan kerajaan Sabah telah membayar dividen sebanyak RM1.2 bilion kepada negeri ini sejak syarikat itu diperbadankan 25 tahun yang lalu.

Dalam pada itu, Bacho berkata walaupun seluruh negara sedang mengalami ancaman wabak COVID-19 dan bencana alam seperti banjir di beberapa negeri, namun industri sawit tetap membawa impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi. 

Katanya, pada tahun 2021 harga minyak sawit mentah telah mencatat harga tertinggi iaitu melebih RM4,700 satu tan pada bulan Mei lalu.

Menurutnya, ia hasil daripada prestasi faktor-faktor lain seperti peningkatan harga minyak kacang soya.

“Prestasi aktiviti di ladang dan kilang amat memberangsangkan dengan tumpuan utama diberi bagi memaksima pengeluaran buah di ladang dan kerja-kerja pemprosesan di kilang. 

"Melalui keutamaan yang diberikan kepada aktiviti itu, jelas prestasi ini akan meningkat lagi pada masa-masa akan datang. 

“Kekuatan Sawit Kinabalu terletak pada tenaga pekerjanya termasuk di ladang dan kilang," katanya.

Menurutnya, pada musim pandemik ini, syarikat telah membelanjakan lebih RM6 juta kepada seluruh tenaga pekerjanya dalam perbelanjaan kos COVID-19 termasuklah pembayaran insentif pekerja ladang dan kilang sewaktu perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu Datuk Rubin Balang dan ahli-ahli Lembaga Pengarah syarikat termasuk Datuk KY Mustafa dan Khairul Firdaus Akbar Khan.
 

  • oleh
  • Advertisement