Anda di sini

Terlepas slot ke Liga Super, Kuching City kini buru tempat ke Piala Malaysia 

Advertisement
Pemain Kuching City, Joseph Kalang Tie cuba melepasi pemain Negeri Sembilan ketika aksi perlawanan semalam. - Gambar ihsan Kuching City.
Pemain Kuching City, Joseph Kalang Tie cuba melepasi pemain Negeri Sembilan ketika aksi perlawanan semalam. - Gambar ihsan Kuching City.

KUCHING: Pasukan Kuching City FC terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di Liga Super pada musim hadapan setelah tewas 1-2 ketika bertemu Negeri Sembilan FC di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang semalam. 

Ketua Jurulatih Kuching City Irfan Bakti Abu Salim berkata, kekalahan itu berpunca daripada kelekaan para pemain. 

"Kita melepaskan dua gol (kepada Negeri Sembilan) melalui set 'piece'. Setelah melalui empat perlawanan kita telah menjaringkan tujuh gol dan bolos lima. Kesemua lima gol yang bolos adalah melalui bola mati. Ini tidak seharusnya berlaku kalau pemain-pemain tidak leka," katanya menerusi pesanan WhatsApp.

Dalam pada itu, beliau mengakui peluang untuk Kuching City sudah tertutup untuk beraksi di Liga Super pada musim hadapan. 

Namun, tegasnya, tumpuan mencari mata tetap diteruskan agar pasukan itu mendapatkan slot untuk berentap di Piala Malaysia. 

"Memang peluang sudah tertutup untuk ke Liga Super, usaha sekarang adalah mencari mata untuk ke Piala Malaysia," katanya. 

Selain itu, beliau mengakui anak buahnya berdepan dengan jadual perlawanan yang padat sekaligus menyebabkan keletihan dalam kalangan pemain. 

"Memang keletihan, kita bermain tiga hari sekali... begitu meletihkan," ujarnya. 

Kuching City kini dikedudukan kesembilan dengan mengutip 17 mata selepas mengharungi 14 perlawanan dalam Liga Premier.

Kuching City akan berdepan dengan pasukan PDRM FC pada 4 September ini jam 4.45 petang di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor. 

  • oleh
  • Advertisement