Anda di sini

Sarawak United sah kembali ke Liga Super musim depan

Advertisement
Para pemain Sarawak United FC bersama barisan pengurusan dan pegawai pasukan itu merakam kenangan bersama.

KUCHING: Sarawak United FC sah kembali ke kancah Liga Super pada musim hadapan setelah tiada lagi pasukan yang berupaya memintas biarpun tewas semua baki perlawanan Liga Premier yang dimiliki skuad itu.

Perkara itu ditegaskan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak United Saif Bujang yang mengesahkan pasukan itu kembali ke di Liga Super 2022 biarpun tidak bermain.

Katanya, ini berikutan kekalahan Kuching City FC kepada Negeri Sembilan, sekali gus menyaksikan tiada lagi pasukan lain yang layak ke Liga Super berupaya memintas Sarawak United biarpun tewas semua baki perlawanan Liga Premier yang dimiliki.

"Dengan 37 mata, satu–satunya pasukan yang boleh mencabar kedudukan Sarawak United untuk slot ke Liga Super adalah Kuching City. 

"Namun kekalahan kepada Negeri Sembilan bermakna mata maksima yang boleh dicapai pasukan itu kini hanya 35, sekali gus menyaksikan mereka tidak mampu lagi bersaing dengan Sarawak United," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambah Saif, satu lagi pasukan, PDRM FC, juga tidak berupaya mencabar Sarawak United ekoran hanya akan dapat mengutip mata maksima sebanyak 31 sekiranya memenangi baki perlawanan yang ada.

"Dengan kejayaan melayakkan diri ke Liga Super 2022, Sarawak United kini telah mencapai sasaran awal musim untuk melayakkan diri ke Liga Super secara merit bagi musim hadapan," jelasnya. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, meskipun sudah layak ke Liga Super, kejuaraan Liga Premier masih terbuka di antara Negeri Sembilan dan Sarawak United. 

Namun katanya, Sarawak United mempunyai kelebihan besar untuk mencapai kejuaraan tersebut. 

"Hal ini kerana Sarawak United memiliki kelebihan dari segi bilangan baki perlawanan," ujarnya. 

Pada masa ini Sarawak United kekal menerajui tahta Liga Premier 2021 dengan mengutip 37 mata diikuti Negeri Sembilan dengan 35 mata dan Johor Darul Ta’zim II, 30 mata.

Sarawak United dijadualkan akan bertemu Kuching City FC pada 7 September ini di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang. 

  • oleh
  • Advertisement