Anda di sini

Pingat penghargaan pasti dipertimbangkan untuk Bonnie dan Jong

Advertisement
 

KUCHING: Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah percaya kerajaan negeri akan mempertimbangkan penganugerahan pingat penghargaan kepada dua atlet para Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Khie yang meraih pingat pada Sukan Paralimpik Tokyo. 

Menurut Abdul Karim pingat penghargaan pernah dianugerahkan kerajaan negeri kepada penerjun negara Pandelela Rinong selepas memenangi pingat gangsa pertama pada sukan Olimpik 2012. 

Begitu juga di Semenanjung Malaysia katanya, pemain Squash negara Datuk Nichole Ann David dan pelumba basikal Datuk Mohd Azizulhasni Awang, mereka diberikan pingat tertentu sebagai tanda penghargaan atas kejayaan mereka.  

“Di Sarawak, apabila Pandelela mendapat pingat pada sukan Olimpik beliau telah diberi pingat sebagai penghargaan daripada kerajaan negeri. 

“Saya percaya kerajaan negeri akan mempertimbangkan pemberian pingat kepada kedua-dua atlet para yang telah berkorban dan mengharumkan nama negara dan Sarawak amnya,” katanya menerusi rakaman video di Facebooknya hari ini. 

Tambah Karim, pemberian pingat penghargaan ini bagaimanapun akan dibincangkan terlebih dahulu di peringkat kabinet untuk diluluskan sebelum diumumkan. 

Apa jenis pingat dan penghargaan yang akan diberikan kepada dua atlet para ini nanti adalah terpulang kepada kerajaan negeri. 

“Apa yang lebih penting bagi saya, insentif yang bakal diterima oleh mereka adalah yang dapat membantu mereka seumur hidup,” katanya. 

Mengenai imbuhan lain yang bakal diberikan kepada Bonnie dan Jong, Abdul Karim berkata kerajaan negeri tidak ada carta spesifik mengenai jumlah imbuhan yang akan diberikan kepada atlet yang berjaya meraih pingat pada sukan olimpik mahupun paralimpik. 

Namun katanya berdasarkan pengalaman sebelum ini, kerajaan negeri akan memberikan separuh daripada jumlah imbuhan yang diberikan kerajaan persekutuan. 

“Walaupun saya tahu berapa jumlah imbuhan yang akan diberikan kerajaan persekutuan kepada pemenang pingat olimpik dan paralimpik, tetapi tidak sesuai untuk saya memaklumkan. 

“Biarlah kerajaan pusat sendiri ataupun menteri di peringkat persekutuan ataupun perdana menteri yang mengumumkan. Di peringkat kerajaan negeri kita akan maklumkan selepas itu kerana perlu dibawa ke kabinet untuk diluluskan sebelum diumumkan,” katanya. 

Abdul Karim turut berharap pihak swasta akan tampil menghulurkan sumbangan kepada dua atlet para Sarawak ini sebagai tanda terima kasih kerana mengharumkan nama negara dan negeri. 

Bonnie dan Jong merupakan antara lima atlet Sarawak yang bertanding mewakili negara pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020. 

Bonnie berjaya merangkul pingat emas bagi acara powerlifting kategori 72 kg manakala Jong merangkul pingat perak bagi acara sama kategori 107 kg. 

  • oleh
  • Advertisement