Anda di sini

Pemburu tertembak rakan disangka babi

Advertisement
Polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Kapit bagi tujuan bedah siasat.
Polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Kapit bagi tujuan bedah siasat.

KAPIT: Seorang lelaki berusia 36 tahun maut dipercayai terkena tembakan yang dilepaskan rakan sendiri ketika berburu di kawasan hutan Sungai Tanyit, Merit, Kapit pada Rabu.

Dalam kejadian pada jam 3.00 petang itu, Jembu Selikau  dari Rumah Kilau, Sungai Melilau Kapit mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan paha kiri akibat terkena tembakan oleh suspek berusia 45 tahun.

Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Freddy Bian berkata, satu laporan polis telah diterima selepas suspek berusia 45 tahun menyerah diri dan ditangkap di Balai Polis Kapit pagi tadi.

"Siasatan mendapati mangsa bersama suspek telah pergi ke hutan tersebut untuk berburu manakala dua lagi rakan mereka pergi menjala ikan di sungai berhampiran pada hari kejadian. Semasa berburu, suspek telah melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa yang disangka babi hutan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ujarnya, mangsa telah meninggal dunia semasa dalam perjalanan balik ke kem tempat mereka bekerja.

Susulan kejadian itu, Polis telah merampas selaras senapang patah disyaki jenis 'Bakakok' sebagai sebarang barang kes.

Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Kapit bagi membantu siasat lanjut kes.

Menurut Freddy, pihaknya akan membuat permohonan reman di Mahkamah Kapit esok.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(1) Akta Senjata 1960.

  • oleh
  • Advertisement