Anda di sini

ILTIZAM PDP bantu tingkat kebolehpasaran graduan bumiputera

Advertisement

“Sediakan latihan profesional sambil bekerja dan latihan kemahiran insaniah”

KUALA LUMPUR: Lepasan graduan bumiputera yang masih belum bekerja di Sabah dan Sarawak diseru merebutkan peluang dengan dengan menyertai Program Pembangunan Profesional ILTIZAM (ILTIZAM PDP) yang menyediakan latihan profesional sambil bekerja di samping latihan intensif modul kemahiran insaniah.

Program yang disediakan oleh Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) ditubuhkan sejak tahun 2012 ini bertujuan untuk menyediakan pengalaman pekerjaan kepada graduan bumiputera daripada keluarga berpendapatan rendah yang masih menganggur atau bekerja dalam bidang yang tidak sepadan dengan kelayakan masing-masing.

Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan
Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan

Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan berkata, ILTIZAM PDP adalah program pengurusan secara berstruktur selama 12 bulan yang dibuka kepada graduan universiti tempatan ini dapat membantu mereka dari segi kebolehpasaran.

Bahkan katanya, program itu juga dapat membentuk mereka bersikap positif serta mampu melaksanakan pelbagai tugas sama ada dalam bidang yang diceburi atau sebaliknya sekali gus memberi pendedahan kepada pelatih untuk mencari pekerjaan yang berbeza dengan kursus pengajian diikuti mereka semasa di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Peserta tidak hanya memperoleh penempatan dalam industri berkaitan bagi mengasah kemahiran dan bakat masing-masing malah mereka juga akan mengikuti kelas untuk latihan secara berkumpulan,” 

“Antara latihan yang akan diberikan pada para peserta adalah seperti kemahiran berkomunikasi, imej, penjenamaan diri, bekerja dalam kumpulan dan lain lain lagi,” katanya kepada wartawan Utusan Borneo dalam satu wawancara khas secara maya baru-baru ini.

Peserta ILTIZAMPDP terima elaun bulanan iaitu RM2,500 sebulan

Antara aktiviti berkumpulan yang diadakan bersama peserta untuk memiupuk semangat berkumpulan
Antara aktiviti berkumpulan yang diadakan bersama peserta untuk memiupuk semangat berkumpulan

Bercerita lanjut Hizwani berkata, Ekuinas akan memilih 75 pelatih untuk ditempatkan di syarikat-syarikat yang terlibat dalam program ILTIZAMPDP setiap tahun.

“Peserta terpilih akan menerima elaun bulanan iaitu RM2,500 sebulan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), faedah kesihatan, perlindungan insurans dan lain-lain lagi.

“Untuk tahun ini kami turut menyediakan elaun tambahan seperti elaun internet bagi peserta yang bekerja dari rumah ekoran daripada pandemik COVID-19.”

“Di tengah-tengah pandemik ini, kami juga menghulurkan bantuan kepada bekas graduan ILTIZAM PDP yang belum mendapat penempatan bekerja dengan menyediakan latihan tambahan bagi meningkatkan kemahiran mereka selaras dengan permintaan industri,”katanya.

Peserta Sabah dan Sarawak akan diberikan bantuan sewajarnya

Hizwani (depan,tengah) bersama para peserta ILTIZAM PDP 2021
Hizwani (depan,tengah) bersama para peserta ILTIZAM PDP 2021

Tambah Hizwani lagi, untuk permohonan pada pengambilan akan datang pihaknya berharap akan mendapat lebih ramai pemohon dari Sabah dan Sarawak.

“Daripada 75 peserta yang dipilih ini, kami berharap lebih daripada 30 peratus daripadanya adalah graduan dari kedua-dua negeri ini,”

“Saya faham kadang-kadang ada di antara ibu bapa peserta terutamanya dari Sabah dan Sarawak berat hati untuk melepaskan anak mereka bekerja jauh dari tempat asal kerana memikirkan soal keselamatan dan kewangan,”

“Sehubungan itu kami di Ekuinas akan memastikan setiap peserta ini akan dibantu sepanjang tempoh program ini,” katanya

Pada masa sama, Hizwani turut menggalakkan graduan orang kelainan   upaya (OKU) untuk menyertai Program ILTIZAM PDP ini kerana mereka harus diberi peluang yang sama seperti graduan yang lain.

“Sehubungan itu saya menyeru graduan yang berada di luar sana jangan lepaskan peluang untuk menyertai Program ILTIZAM PDP ini. Biar menyesal memohon, jangan menyesal tidak memohon kerana kita tidak tahu rezeki kita di mana,”

“Sekiranya ada diantara graduan yang terpilih tetapi masih ragu-ragu dengan pilihan mereka pihak Ekuinas sentiasa akan membantu mereka,”

“Peserta juga tidak perlu bimbang kerana kami akan sentiasa memantau perkembangan kerjaya mereka sepanjang latihan kerja 12 bulan tersebut. Kita akan bantu dan cuba mencari penyelesaian terbaik dengan masalah yang mereka hadapi,”

“Walaupun mereka telah menamatkan latihan dan mendapatkan pekerjaan di tempat lain, kami akan tetap membantu mereka sekiranya diperlukan,”

“Ini adalah seiring dengan moto program ini iaitu ‘You can leave ILTIZAM but we will always be there for you,’,”

“Adalah penting bagi pihak kami untuk memastikan golongan sasaran ini tidak tercicir daripada mendapatkan pekerjaan. Sehubungan itu, Ekuinas memainkan peranan yang penting membantu merealisasikan setiap impian peserta untuk berjaya dan mendapat pekerjaan,”katanya.

85 peratus berjaya mendapatkan pekerjaan

Mengulas lanjut Hizwani berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 2012 program ILTIZAM PDP sudah mempunyai 432 graduan yang berjaya mendapatkan pekerjaan.

“Walaupun dalam persekitaran pandemic COVID-19 pada tahun lalu, sebanyak 85 peratus daripada graduan yang terpilih dalam program ini mendapat pekerjaan tetap dalam pelbagai bidang di seluruh negara,”

“Saya harap ILTIZAM PDP yang dijalankan ini akan sentiasa memberi inspirasi dan memperkasa graduan di luar sana terutamanya dari keluarga B40,” katanya.

Peserta: Timba pengalaman, pelbagaikan kemahiran dalam kerjaya

Nazera Hana Masrin
Nazera Hana Masrin

Bagi peserta ILTIZAM PDP 2021, Nazera Hana Masrin, 26 tahun yang berasal dari Kota Belud, Sabah berkata, sebelum ini agak sukar bagi dirinya untuk mendapatkan kerja ekoran daripada tawaran kerja yang terhad di kampung halaman dan tidak sesuai dengan bidang yang dipelajari.

“Saya gembira diberi peluang untuk mengikuti program ini dan ditempatkan di Cosmopoint Sdn Bhd (salah satu daripada anak syarikat Ekuinas) kerana banyak benda baharu yang saya pelajari sekali gus melengkapkan diri saya dengan pelbagai kemahiran.

“Walaupun hanya mula bekerja sejak Januari lalu, keyakinan diri saya juga meningkat dan rangkaian kenalan saya juga bertambah terutamanya daripada golongan professional dari pelbagai bidang,”

“Saya harap lebih ramai graduan di Sabah akan menyertai ILTIZAM PDP kerana ianya bukan sahaja memberikan latihan kerjaya dan pada masa yang sama pengalaman bekerja yang sangat berguna,” katanya.

Hafiz Iqbar Bin Manan
Hafiz Iqbar Bin Manan

Sementara itu, bagi peserta Hafiz Iqbar Bin Manan yang berasal dari Kuching merupakan peserta daripada kumpulan 2017/2018 berasa syukur dan bertuah mengikuti program ILTIZAM PDP.

“Sebelum menyertai program ini, saya melakukan pelbagai jenis pekerjaan demi kelangsungan hidup dan pengalaman bekerja walaupun gajinya kurang setimpal,”

“ILTIZAM PDP memberi peluang pada saya menerokai benda yang baru dan menimba pengalaman ketika bekerja di Kuala Lumpur. Saya seronok bekerja di sana dan ilmu yang saya telah peroleh juga melebihi apa yang diajar di universiti,”

“Saya juga berharap graduan di Sarawak tidak melepaskan peluang memohon program ini kerana ianya amat membantu untuk perkembangan kerjaya. Sekiranya ada yang berjaya terpilih kelak tetapi ditempatkan di tempat lain, percayalah pada rezeki anda,”

“Pihak Ekuinas sangat membantu sepanjang latihan saya bekerja di Kuala Lumpur dahulu. Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru dan keluar dari keselesaan anda,”katanya.

Hafiz merupakan graduan Fakulti Seni Reka UiTM dan juga merupakan salah seorang OKU yang berjaya dalam program ILTIZAM PDP yang kini bekerja sebagai pereka grafik di akhbar tempatan Suara Sarawak.

Untuk maklumat lanjut dan graduan yang ingin memohon menyertai Program ILTIZAM PDP anda boleh melayari laman web https://iltizam.ekuinas.com.my/pdp/. 

Tarikh tutup permohonan ILTIZAM PDP adalah pada 15 September 2021.

  • oleh
  • Advertisement