Anda di sini

Sumbang mahram dengan anak saudara dalam kereta, lelaki dijel 18 tahun

Advertisement
Tertuduh (kiri) diiring polis keluar dari kamar mahkamah selesai dijatuhkan hukum.
Tertuduh (kiri) diiring polis keluar dari kamar mahkamah selesai dijatuhkan hukum.

KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan sumbang mahram dan jenayah seksual terhadap anak saudaranya yang berusia 12 tahun, di dalam sebuah kereta. 

Hakim Afidah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 44 tahun yang didakwa melakukan kedua-dua perbuatan berkenaan di dalam sebuah kereta diletakkan di sebuah kampung di Bau pada 19 Julai lalu, jam lebih kurang 6.15 petang.  

Tertuduh dihukum penjara 18 tahun dan tujuh sebatan atas kesalahan sumbang mahram, serta penjara lapan tahun dan tiga sebatan bagi pertuduhan melakukan jenayah seksual.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara terbabit secara serentak, bermula dari tarikh tangkapan pada 17 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram terhadap anak saudaranya yang berusia 12 tahun dan seterusnya didakwa serta disabitkan mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan jenayah seksual terhadap mangsa sama, dengan cara menyentuh tubuh badan mangsa iaitu mencium pipi mangsa untuk tujuan seksual.

Untuk itu, tertuduh didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Berdasarkan keterangan kes, mangsa bersetuju untuk mengikut tertuduh keluar membeli minuman pada hari kejadian dengan menaiki sebuah kereta, susulan tertuduh merupakan abang ketiga kepada ibu kandungnya serta tinggal bersama neneknya di dalam rumah sama di Bau.

Tertuduh bagaimanapun memberhentikan kereta berkenaan di kawasan semak yang sunyi dan kemudian mengajak mangsa untuk melakukan hubungan seks tetapi mangsa enggan.

Sejurus permintaan tertuduh ditolak, tertuduh terus mengeluarkan sebilah pisau lipat dan meletakkannya di leher mangsa.

Mangsa yang berasa sangat takut dan tidak berani untuk melawan dilaporkan gagal berbuat apa-apa untuk mempertahankan diri. 

Selepas kejadian itu juga, laporan polis dibuat dan tertuduh ditangkap di sebuah rumah di Taman Emas, Jalan Penrissen selepas hampir sebulan melarikan diri. 

Terdahulu sebelum tertuduh dijatuhkan hukum, Timbalan Pendakwa Raya Nadratun Naim Mohd Saidi memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pengajaran terhadap tertuduh dengan mengambil kira beberapa faktor.

Antaranya adalah kepentingan awam, hubungan tertuduh dan mangsa, faktor usia iaitu membabitkan gadis bawah umur serta kesan trauma seumur hidup yang dihadapi mangsa.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement