Anda di sini

Lelaki baharu keluar penjara pukul ibu guna kerusi plastik ditahan

Advertisement
Kerusi plastik yang dipercayai digunakan suspek untuk memukul ibunya.
Kerusi plastik yang dipercayai digunakan suspek untuk memukul ibunya.

SIBU: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki bertindak agresif dan memukul ibunya menggunakan kerusi plastik di ruang tamu sebuah rumah panjang di sini semalam.

Dalam kejadian pada jam 10 pagi itu, ibu suspek cuba menenangkan suspek yang bertindak agresif namun tidak berjaya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Collin Babat berkata suspek yang di luar kawalan telah bertindak memukul ibunya menggunakan kerusi plastik.

"Akibat tindakan suspek, ibunya mengalami bengkak di kepala dan luka di tangan kiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, punca suspek bertindak sedemikian adalah suspek tidak berpuas hati dengan ibunya apabila motosikalnya ditarik oleh pihak kedai kerana perjanjian sewa beli tidak dipatuhi.

Suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau ditangkap oleh polis susulan menerima panggilan daripada ibu suspek pada jam 11.40 pagi.

Suspek kini direman selama empat hari sehingga 29 Ogos untuk membantu siasatan lanjut.

Sebuah kerusi plastik turut dirampas sebagai barang bukti kes.

Difahamkan, suspek baharu sahaja keluar dari Penjara Sibu setelah menjalani hukuman penjara lima bulan atas kesalahan di bawah Seksyen 324/326a Kanun Keseksaan.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa," tambah beliau.

  • oleh
  • Advertisement