Anda di sini

Filem Iban rangkul 20 anugerah antarabangsa - 'Belaban Hidup' - di Astro First

Advertisement
 

Oleh Lucia Terey John

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan kini semakin hampir dan Astro First akan menayangkan sebuah filem seram Malaysia yang telah merangkul pelbagai anugerah iaitu Belaban Hidup: Infeksi Zombie bermula 28 Ogos.

Filem hasil penulisan dan diterbitkan seorang pengarah filem wanita Iban Misha Minut Panggau, 50, bersama suaminya yang juga seorang penerbit filem Ray Lee, merupakan satu lagi cara untuk rakyat Malaysia menghayati semangat hidup dalam kepelbagaian budaya dan bangsa.

Filem ini berkisarkan kepada satu kumpulan anak-anak yatim yang telah ditangkap saintis jahat bagi menjadi bahan ujiannya ini, merupakan filem pertama menampilkan masyarakat dan berbahasa Iban Sarawak.

Disiapkan pada 2019, filem itu telahpun memenangi 20 anugerah daripada 10 negara termasuk ‘Official Selection’ di Festival Filem Seram Macabro Mexico dan Festival Filem Native Spirit (United Kingdom) pada 31 Julai, serta Festival Filem Hebat Antarabangsa Yubari (Jepun) pada 20 Ogos.

“Pengiktirafan ini amat bermakna untuk saya. Kritikan sentiasa ada, tetapi (saya percaya) selagi saya mendapat keredaan dan petunjuknya, semuanya akan berjalan mengikut perancangan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, disebabkan tanggapan berkaitan gender dan latar belakangnya yang berasal dari sebuah rumah panjang di Limbang Sarawak, ramai yang sering mempertikaikan keupayaannya.

Namun, demi kecintaannya terhadap pembuatan filem penerbit pertama berbangsa Dayak itu, kekal tabah dan tidak mengendahkan kritikan demi mencapai cita-citanya.

Misha, yang menjadikan Mel Gibson seorang pelakon dan pengarah sebagai salah seorang idolanya berkata, beliau suka membuat sesuatu yang berbeza, sebab itulah beliau menampilkan masyarakat Dayak Laut (Iban) dalam filemnya itu.

“Hanya terdapat beberapa filem sahaja yang dihasilkan berkaitan budaya dan komuniti Sarawak seperti ‘Cinta Gadis Rimba' (1958), ‘Sleeping Dictionary’ (2003), ‘Kanang Anak Langkau’ (2017) dan ‘Peransang Rentap’ (2017).

“Disebabkan ini, saya fikir kenapa saya tidak lakukannya dan bawa ke dalam pasaran dan pada masa yang sama mempromosikan Sarawak dan Malaysia kepada pembuat filem antarabangsa. Jadi saya akan terus buat filem seperti ini di masa hadapan,” kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Namun demikian, walaupun beliau suka untuk menghasilkan sesuatu yang kreatif, kadang kala mendapatkan dana daripada syarikat korporat adalah sukar, kerana secara relatifnya beliau seorang penerbit filem yang baharu.

“Ada yang mengatakan saya bukanlah satu nama besar dalam industri dan ada pula yang mengatakan filem etnik ini pasarannya kecil, dan tidak mampu untuk bersaing.

“Saya berharap pengiktirafan yang telah saya terima akan mengubah persepsi ini dan memberikan impak bahawa, pengamal dan pembuat filem di Borneo ini tidak boleh dipandang rendah,”  kata Misha yang bermula dengan penghasilan filem selepas menjadi pelakon tambahan dan pembantu penerbit untuk sebuah rancangan TV tempatan ‘Bibikku Maduku’ dan ‘Bollywood Express’.

Sementara itu Lee, yang mengarahkan filem Belaban Hidup itu berkata, penerbit Dayak sukar mendapat tempat dalam industri tempatan kerana tidak ramai yang percaya bahawa filem dengan bahasa minoriti mampu memberikan pulangan yang baik.

“Namun pada zaman ini, ramai rakyat Malaysia yang menonton filem Korea, China, Jepun, Sepanyol, Perancis, Mayan, Thailand, Turki dan Latin di Netflix, jadi kenapa tidak kepada filem dalam bahasa Iban?

“Dunia sedang menonton filem kita dan berikan kami sokongan dan anugerah yang banyak. Oleh sebab itu jika kita mampu mengubah persepsi dan menghasilkan kesedaran ini, kita akan mampu untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia,” katanya. - Bernama 

Advertisement