Anda di sini

COVID-19: Kadar penggunaan katil ICU bagi rawatan kritikal di Sarawak kini 30-40%

Advertisement
 

KUCHING: Kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital bagi rawatan kritikal kini berada pada tahap 30 sehingga 40 peratus, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak Datuk Mohamed Sapian Mohamed (gambar).

Bagaimanapun, kebelakangan ini kebanyakan kes harian baharu adalah dalam kalangan golongan yang belum layak diberikan imunisasi COVID-19 iaitu kanak-kanak dan remaja di bawah 18 tahun iaitu kira-kira 25 hingga 30 peratus.

"Masyarakat di Sarawak bernasib baik memandangkan liputan imunisasi COVID-19 yang amat tinggi sangat membantu atau memberi kesan terhadap pengurangan bilangan kes yang kritikal," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Namun begitu, beliau mengingatkan orang ramai untuk tidak membiarkan keadaan tersebut berterusan kerana bilangan katil di hospital untuk menampung kemasukan kes dan juga kemudahan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) akan dipenuhi dengan cepat. 

Jika katil di wad atau PKRC sedia ada dipenuhi pesakit katanya, ia akan menyebabkan  kesukaran bagi pihaknya kerana memerlukan penglibatan ramai petugas kesihatan dengan kerjasama pelbagai agensi lain.

"Ini termasuk untuk mendapatkan tambahan peralatan perubatan termasuk bukan perubatan dan sebagainya," ujar beliau lagi.

Aktiviti pengesanan kes dan kontak rapat tegasnya akan turut meningkat, dan jika melebihi kapasiti sistem kesihatan awam sedia ada, ini mungkin mengakibatkan kes dan kontak rapat lewat dikesan dan dikhuatiri rawatan juga lewat diberikan.

Justeru JKN Sarawak sekali lagi ingin mengingatkan bahawa masyarakat di Sarawak perlu memainkan peranan dan lebih bertanggungjawab dalam usaha memerangi COVID-19, ujarnya.

"Sekiranya orang ramai masih lagi tidak mematuhi garis panduan (SOP) dan kes masih terus meningkat, perkhidmatan perubatan kita akan lumpuh dan kita tidak dapat mampu untuk memberi rawatan yang sewajarnya kepada golongan yang memerlukan," katanya lagi. 

Sehingga semalam, JKN Sarawak melaporkan sebanyak 1,538 kes baharu COVID-19 direkodkan di Sarawak. 

"Ini menjadikan kumulatif kes COVID-19 setakat ini adalah berjumlah 99,838 kes. 

"Peningkatan bilangan kes harian melebihi seribu angka ini bermula pada 12 Ogos 2021 dan ianya menjadi berturut-turut sejak enam hari kebelakangan bermula 18 Ogos 2021," katanya.

Sebanyak 615 kes baharu dilaporkan di daerah Kuching, 129 kes di daerah Serian, 115 kes di daerah Lundu, 103 kes di daerah Samarahan dan 102 kes di daerah Pusa.

Manakala, tiga kes kematian dilaporkan pada semalam (23 Ogos) melibatkan dua kes di daerah Kuching dan satu kes di daerah Daro.

Daripada keseluruhan kes harian dilaporkan, majoriti adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2 yang melebihi 99 peratus. 

Beliau mahu orang ramai untuk terus kekal duduk di rumah, jika tiada urusan penting di luar.

Selain itu, orang ramai juga harus memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal setiap masa selain mematuhi SOP ditetapkan jika berada di tempat awam atau di tempat kerja.

"Bagi pekerja, sekiranya tidak sihat, jangan turun bekerja dan lindungi kanak-kanak dan remaja di bawah 18 tahun. 

"Jangan bawa mereka ke tempat awam atau menjangkiti mereka ketika balik ke rumah. Larang mereka bermain di luar rumah atau berkumpul dengan kawan-kawan," tegas beliau.

Sekiranya terdapat gejala seperti demam, batuk, sakit tekak, sukar bernafas atau mengalami kelesuan, sakit badan, cirit-birit dan muntah tanpa punca yang dapat dikenal pasti, segera dapatkan saringan dan rawatan walaupun gejala adalah ringan dan tidak teruk. 

Sebagai usaha membantu daripada berlakunya kesesakan di hospital, mereka yang kategori 1 (tiada sebarang gejala) dan kategori 2 (bergejala ringan dan tiada radang paru-paru), sila pergi ke klinik kesihatan terdekat manakala kes kecemasan boleh terus ke hospital.

Orang ramai juga dilarang terlibat dalam menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan sosial, majlis atau sambutan keramaian buat masa ini kerana mungkin terdapat kehadiran individu yang dijangkiti, sama ada tidak bergejala atau bergejala ringan.

"Sekiranya anda berumur 18 tahun dan ke atas serta belum menerima imunisasi COVID-19, segeralah datang ke klinik atau pusat vaksinasi berdekatan," tambahnya.

Manakala jika diarahkan untuk kuarantin di rumah, ikuti langkah-langkah yang ditetapkan oleh petugas kesihatan dan beri kerjasama serta tidak sekali-kali meninggalkan rumah atau berhubung rapat dengan ahli keluarga atau rakan lain yang tinggal serumah. 

"Guna aplikasi MySejahtera atau Tatacara Penilaian Kesihatan (HAT) yang diberikan oleh petugas kesihatan untuk menilai kesihatan masing-masing. 

"Jika gejala bertambah teruk dan berasa tidak sihat, sakit kepala atau sakit dada, segera ke klinik atau hospital terdekat atau hubungi 999 untuk bantuan," jelasnya semalam.

Masyarakat di Sarawak diminta agar tidak sekali-kali leka dan terus kekal berwaspada. 

"Sayangilah diri sendiri, keluarga dan rakan kita. Bersama-samalah bertanggungjawab untuk memutuskan rantaian perebakan jangkitan COVID-19 ini," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement