Anda di sini

Lapan sekeluarga miskin dapat perhatian sukarelawan

Advertisement
 Suriani (tiga kiri) menerima bantuan tangki air dan bakul makanan daripada pasukan sukarelawan Liew yang diwakil Ketua Masyarakat Cina (Kapitan) Lim Ka Jun.
BANTUAN: Suriani (tiga kiri) menerima bantuan tangki air dan bakul makanan daripada pasukan sukarelawan Liew yang diwakil Ketua Masyarakat Cina (Kapitan) Lim Ka Jun.

TAWAU: Lapan orang sekeluarga yang tinggal di sebuah rumah setinggan tanpa bekalan elektrik dan air sejak empat tahun lalu dapat perhatian pasukan sukarelawan Tan Sri Liew Yun Fah.

Pasangan suami isteri dan enam orang anaknya terpaksa tinggal di kawasan tanah terbiar berhampiran Taman Semarak, di sini kerana tidak mampu menanggung kos menyewa rumah.

Suriani Mansur, 35, yang ditemui berkata suaminya yang hanya bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan tidak mampu menyewa rumah kerana pendapatan keluarga yang tidak menentu.

“Pendapatan suami saya tidak menentu, paling banyak pun sekitar RM600 sahaja dan itu hanya cukup menampung makanan harian kami sekeluarga serta perbelanjaan empat anak yang masih sekolah.

“Saya dan anak-anak juga terpaksa mencari bahan kitar semula yang boleh dijual untuk menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Katanya, mereka tetap bersyukur kerana masih boleh menumpang di tanah yang tidak diketahui pemiliknya walaupun tiada bekalan elektrik dan air bersih.

“Kami pernah  memohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Semarak tetapi sehingga kini belum ada jawapan lagi.

“Setakat ini, hanya PPR Semarak sahaja kami mohon kerana kawasan itu dekat dengan tempat kerja suami dan sekolah anak,” katanya.

Suriani berkata, memang agak sukar juga kehidupan tiada sebarang bekalan elektrik dan air, lebih-lebih lagi anak-anak sekarang belajar menggunakan gadjet.

“Anak saya terpaksa menumpang di rumah kawan berdekatan untuk cas bateri telefon bimbit supaya boleh mengikuti pembelajaran dalam talian.

“Saya bersyukur kerana masyarakat Tawau sangat prihatin banyak membantu, begitu juga dengan Tan Sri Liew yang menyumbang tangki air untuk kegunaan kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Brigadier General (B) Tan Sri Liew Yun Fah ketika dihubungi berkata, dia tidak menyangka keadaan kediaman Suriani begitu teruk dan tidak mempunyai sebarang kemudahan.

Katanya, sepatutnya perkara ini tidak berlaku dengan rakyat yang berstatus warganegara Malaysia kerana sudah banyak pelan bantuan sudah kerajaan buat.

“Perkara itu perlu diambil perhatian semua pihak untuk bersama-sama membantu keluarga yang miskin, lebih-lebih lagi anaknya yang masih bersekolah perlukan pelbagai kemudahan.

“Kami merancang mencari sebuah rumah yang sesuai untuk keluarga itu tinggal supaya mereka boleh hidup seperti orang lain,” katanya.

Tambah Liew, sebenarnya banyak lagi keluarga yang mempunyai nasib serupa di daerah ini dan memerlukan perhatian semua pihak terutamanya pihak kerajaan.

“Saya berharap kerajaan dapat menjejaki keluarga berstatus warga tempatan yang tinggal di kawasan tanah terbiar untuk diberikan PPR di daerah ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement