Anda di sini

Ketengahkan OKU untuk jawatan penting dalam kerajaan baharu - Rapelson

Advertisement
 


KUCHING: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (PERAIS) berharap orang kurang upaya (OKU) dari Sarawak akan diberi peluang memegang jawatan penting dalam kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presidennya Rapelson Richard Hamit (gambar) berkata, kabinet yang bakal dibentuk itu boleh mengetengahkan OKU dalam pelantikan jawatan kerajaan persekutuan, senator, syarikat milik kerajaan (GLC) dan juga kerajaan tempatan.

“Dengan perlantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu, kita harap beliau lebih prihatin terhadap keperluan dan pembangunan OKU di negara ini.

“Ia termasuk dengan memberi peluang OKU Sarawak dan Sabah menjawat jawatan penting dalam kerajaan persekutuan, senator OKU, OKU dalam GLC dan juga dalam kerajaan tempatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berharap agar tuntutan yang dibuat PERAIS sebelum ini dan persatuan OKU yang lain dapat ditunaikan oleh kerajaan persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, PERAIS mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri kesembilan bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan itu.

“Terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin sepanjang perkhidmatannya yang telah membantu rakyat termasuk menangani penularan wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Kita harap dengan kerajaan baharu itu semua wakil rakyat akan bekerjasama memulihkan semula negara dari aspek ekonomi, sosial, kesihatan dan pendidikan demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Rapelson menggesa kerajaan untuk memberi jawatan penuh kepada Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin dan Ahli Parlimen Saratok Datuk Ali Biju.

Ia katanya, bagi mewakili masyarakat Dayak di Sarawak dengan kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan memiliki rekod perkhidmatan yang baik serta bersih.

  • oleh
  • Advertisement