Anda di sini

KPDNHEP keluarkan 839 kompaun bernilai RM4.5 juta

Advertisement
 

BATU KAWAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan 839 kompaun kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan nilai RM4.5 juta dalam pemeriksaan di seluruh negara sejak 13 Mei lepas.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata tindakan kompaun diambil dalam pemeriksaan penguatkuasa KPDNHEP di 732,893 premis di seluruh negara sehingga semalam.

"Saya ingin tekankan bahawa mengeluarkan kompaun bukanlah keutamaan KPDNHEP. Ia tindakan terakhir selepas advokasi yang diberikan terlebih dahulu tidak dipatuhi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemantauan dan pemeriksaan premis perniagaan di Design Village hari ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh sama, pihaknya turut memberi amaran dan nasihat kepada pemilik 8,410 premis perniagaan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya secara dasar, rata-rata peniaga di negara ini amat mematuhi SOP norma baharu yang ditetapkan dengan kadar pematuhan sehingga 98.7 peratus.

Bagaimanapun, Hasnol Zam Zam mengakui terdapat lebih satu peratus golongan yang masih berdegil dan culas dalam mematuhi SOP itu walaupun telah berkali-kali dinasihatkan. - BERNAMA
 

Advertisement