Anda di sini

Hanyut bercinta, wanita rugi RM60,140

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUCHING: Seorang wanita mengalami kerugian mencecah RM60,140 selepas menjadi mangsa 'Love Scam' akibat terperdaya dengan kenalan Facebook yang baharu dikenali pada Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata mangsa berusia 40-an itu berkenalan dengan suspek yang dikatakan berasal dari Manchester, England.

Menurutnya, suspek yang kononnya ingin menjadi kekasih mangsa kemudian memberitahu telah mengirimkan hadiah sebagai tanda ikatan hubungan mereka .

"Awal Ogos, mangsa menerima panggilan telefon daripada pihak syarikat kurier mengatakan ada satu bungkusan dikirimkan kepadanya dan perlu membayar cukai penghantaran berjumlah RM3,500 kerana bungkusan terlebih berat. 

"Mangsa bersetuju untuk membayar jumlah tersebut secara dalam talian ke satu akaun bank dan selepas itu pemanggil yang sama meminta bayaran lagi sebanyak RM11,150 atas alasan terdapat banyak wang di dalam bungkusan tersebut," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, tiga hari kemudian mangsa diminta buat bayaran tambahan berjumlah RM45,490 kerana jumlah bayaran sebelumnya tidak mencukupi dan bertujuan menggelak barang tersebut ditahan oleh pihak Kastam. 

"Mangsa telah membuat bayaran tambahan ke satu akaun bank atas nama sebuah syarikat," jelasnya. 

Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila diminta sekali lagi membuat sejumlah bayaran.

Laporan polis kemudian dibuat mangsa di balai polis berhampiran dan siasatan lanjut dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Justeru orang ramai, khususnya kaum wanita diingatkan jangan mudah tertarik hati dan terpesona dengan kata-kata manis serta pujuk rayu terutamanya daripada orang yang tidak pernah dikenali secara bersemuka kerana rupa paras yang dipaparkan dalam Facebook bukanlah rupa paras sebenar," ujar Lim.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau memerlukan khidmat nasihat, boleh menghubungi talian 03-2610 1559 dan 03-2610 1599 iaitu CCID SCAM RESPONSE CENTER atau boleh juga SMS atau WHATSAPP nombor Infoline Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di talian 013-2111222.

  • oleh
  • Advertisement