Anda di sini

Lukisan Mural etnik Sabah di tiang Jambatan Tamparuli

Advertisement
 Jahid Bersama beberapa pemimpin masyarakat yang hadir meninjau perkembangan terkini hasil projek lukisan mural berkenaan.
TINJAU: Jahid Bersama beberapa pemimpin masyarakat yang hadir meninjau perkembangan terkini hasil projek lukisan mural berkenaan.

TUARAN: Lukisan Mural bercorak etnik Sabah di sepanjang tiang Jambatan Gantung Pekan Tamparuli akan memberi nilai tambah kepada daerah kecil Tamparuli. 

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, lukisan mural bercorak etnik tempatan itu bakal memberi wajah baharu kepada Tamparuli sebagai tarikan pengunjung terutamanya pelancong yang menjadikan Tamparuli sebagai laluan ke Taman Kinabalu di Kundasang. 

Katanya, walaupun Tamparuli dan jambatannya sering disebut di pelusuk negara, malah di seluruh dunia ianya masih perlu untuk diberi nilai tambah iaitu langkah mencantikkan kawasan jambatan gantung itu dengan lukisan mural, dilihat amat bersesuaian. 

Jahid berkata idea tersebut muncul selepas beliau bertemu dengan sekumpulan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tamparuli, Ketua Kampung, Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) yang mencetuskan perbincangan kepada mercu tanda Tamparuli itu.

"Pada asalnya, kami berbincang untuk mencari apakah mercu tanda yang boleh kita perkenalkan untuk kawasan Tamparuli. 

“Hasil perbincangan akhirnya diterjemahkan menerusi pelaksanaan projek lukisan mural yang juga salah satu langkah bagi menceriakan serta mengindahkan lagi kawasan yang terdapat di Tamparuli. 

"Kita sudah berusaha mencari peruntukan, kita berusaha mencari pelaksana, dan akhirnya sudah mulai kelihatan fasa pertama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat 

Lawatan Kerja bagi meninjau projek melukis mural di Jambatan Gantung Pekan Tamparuli di sini.

Tambahnya fasa pertama lukisan mural itu sedang dilaksanakan dan bakal beralih pula ke tiang berikutnya bagi fasa kedua. 

“Kita berharap dengan terlaksananya lukisan mural itu akan dapat mencapai matlamat untuk mewujudkan satu mercu tanda bagi pekan Tamparuli dan daerah itu secara keseluruhannya. 

“Perpaduan kukuh dalam kalangan masyarakat yang terdapat di Tamparuli juga dapat diperlihatkan kepada pengujung luar berikutan corak lukisan mural di semua tiang tersebut memaparkan motif budaya suku kaum yang terdapat di Tamparuli seperti Dusun, Bajau, Cina, Lotud dan lain-lain,” katanya.

Menurutnya pelaksanaan ini bukanlah sesuatu yang mudah, kerana di samping mengutamakan aspek keselamatan, ianya juga memerlukan penelitian khusus terutamanya melibatkan pemilihan corak-corak berkenaan. 

“Selain lukisan tersebut, tugu peringatan tentera Australia yang terdapat di pekan Tamparuli dan cerita mengenai lagenda Solungkoi yang terkorban di Jambatan Tamparuli juga akan diambil kira di dalam fasa seterusnya nanti bagi menarik kehadiran pelancong untuk mendapat peluang persinggahan yang berkualiti di sini. 

"Bila ramai pelancong datang ke sini, kadar ekonomi termasuk peluang perniagaan dan segala-gala yang berkaitan turut meningkat," katanya. 

Beliau juga mengharapkan agar masyarakat menerima baik usaha kecil bagi memajukan kawasan Tamparuli tersebut, selain peningkatan ekonominya kelak. 

"Diharapkan selepas pandemik ini pelancong akan mula datang ke sini dan kita mengharapkan ada ledakan ekonomi yang boleh meningkatkan tarikan sedia ada di sini,” katanya.

Hadir sama meninjau perkembangan projek lukisan tersebut ialah Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tuaran, Jamlin Ladin, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, dan Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar serta para pemimpin masyarakat di sekitar Tamparuli dan Tuaran.

  • oleh
  • Advertisement