Anda di sini

Petugas KKM ditemui mati di pusat kuarantin

Advertisement
Petugas kesihatan dan polis tiba ditempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

KUCHING: Seorang petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dijumpai tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia dalam sebuah bilik rehat di sebuah hotel yang dijadikan sebagai pusat kuarantin di sini malam Khamis. 

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, dalam kejadian jam 7.07 malam itu, polis menerima maklumat awal berkenaan seorang petugas KKM yang bertugas di pusat kuarantin berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik rehat di tingkat 2 dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

"Mangsa merupakan seorang pembantu perubatan berusia 28 tahun yang baharu ditugaskan di pusat kuarantin tersebut 2 Ogos lalu dan berasal dari Mukah. 

"Berdasarkan maklumat tersebut, polis dengan ambulans hadir di lokasi kejadian dan siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah dan tiada sebarang kesan pecah masuk atau kehilangan barangan milik mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Jelasnya, petugas kesihatan yang turut hadir ke lokasi mengesahkan mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh lebih kurang 7 jam sebelum ia disedari oleh rakan sekerja mangsa. 

Tambah Ahsmon, pemeriksaan tubuh badan juga mendapati tiada sebarang kecederaan dialami oleh mangsa. 

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk saringan COVID-19 dan bedah siasat," katanya. 

Menurutnya lagi, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tiada sebarang unsur jenayah ditemui terhadap kematian mangsa. 

"Polis mengingatkan supaya tiada mana- mana individu membuat spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa," tegasnya. 
 

  • oleh
  • Advertisement