Anda di sini

Kempen ‘Go-eCommerce Onboarding’ dan ‘Shop Malaysia Online’ bakal manfaat 10,000 perniagaan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kempen ‘Go-eCommerce Onboarding’ dan ‘Shop Malaysia Online’ kini bersedia membawa 10,000 perniagaan untuk menikmati jangkauan pasaran yang lebih luas melalui perniagaan dalam talian, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (gambar). 

Beliau berkata Perbadanan Produktiviti Malaysia dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia akan bekerjasama untuk menjayakan kempen melibatkan pakej insentif bernilai RM200 juta yang diperuntukkan di bawah Belanjawan 2021.

“Mandat yang diberikan di bawah MyDigital ini bertujuan mempercepat program dalam talian e-dagang untuk perniagaan makanan dan minuman luar talian bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing ekonomi perniagaan.

“Usaha kolektif ke arah digitalisasi menunjukkan hasil apabila kedudukan Malaysia telah meningkat dari tempat ke-26 pada tahun 2020 kepada tempat ke-22 pada tahun 2021 dalam kategori “transformasi digital syarikat-syarikat” dalam Buku Tahunan Daya Saing Dunia (WCY),” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-65 yang dikeluarkan pada Khamis.

Tengku Zafrul berkata, kempen Go-eCommerce Onboarding bertujuan untuk membimbing dan memudahkan lebih banyak perniagaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memanfaatkan e-dagang dan e-pembayaran sebagai cara baharu menjalankan perniagaan dan memperluas jangkauan pasaran mereka.

Kempen Online Shop Malaysia pula bertujuan untuk menggalakkan transaksi dalam talian melalui promosi yang berkaitan dengan sokongan sektor e-dagang dan e-pembayaran.

Kedua-dua kempen itu dijadualkan bermula pada 1 Julai hingga 31 Disember 2021.

Menurutnya, satu siri webinar akan diatur bersama pemain utama e-dagang seperti Touch N ‘Go, Boost, Beep dan lain-lain bermula hari ini untuk memudahkan serta membimbing perniagaan tersebut beralih kepada perniagaan dalam talian.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan telah meluluskan permohonan subsidi upah bernilai RM1.334 bilion di bawah Program Subsidi Upah (PSU) 2.0 setakat 30 Julai.

Jumlah itu telah disalurkan kepada 77,226 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 681,838 pekerja.

Bagi Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran pula, seramai 150,908 peserta telah diluluskan setakat 30 Julai, berbanding 150,764 pada minggu sebelumnya, untuk mengambil bahagian dalam program-program yang disediakan, katanya. - BERNAMA

Advertisement