Anda di sini

Prospek cerah, dorong usaha jadikan kawasan Tringgus sebagai pengeluar kopi  

Advertisement
Midia (dua kiri) bersama peserta tanaman kopi dari Kampung Tringgus Bong dibekalkan dengan 304 anak benih kopi setiap peserta. 
Midia (dua kiri) bersama peserta tanaman kopi dari Kampung Tringgus Bong dibekalkan dengan 304 anak benih kopi setiap peserta. 

PROSPEK cerah tanaman kopi mendorong usaha untuk menjadikan kawasan Tringgus di daerah Bau sebagai antara pengeluar kopi pada masa akan datang. 

Bagi tujuan itu, Program Kluster Penanaman Kopi sedang giat diusahakan oleh 22 orang peserta dari Kampung Tringgus Bong dalam daerah tersebut. 

Ketua Kampung Tringgus Bong Midia Sitat yang ditemu bual berkata setiap peserta dibekalkan dengan 304 anak benih kopi daripada Jabatan Pertanian untuk ditanam di tanah milik masing-masing. 

“Kerja-kerja penanaman telah dimulakan tiga minggu lepas selepas penyerahan anak benih kopi pada 13 Julai lepas. 

“Anak-anak benih kopi yang ditanam ini dijangka akan mencapai usia matang dalam masa tiga tahun untuk penuaian pertama,” katanya. 

Anak benih kopi jenis Liberica diagihkan kepada peserta Program Kluster Penanaman Kopi dari Kampung Tringgus Bong.
Anak benih kopi jenis Liberica diagihkan kepada peserta Program Kluster Penanaman Kopi dari Kampung Tringgus Bong.

Mengulas lebih lanjut mengenai tanaman kopi ini, Midia yang juga peserta projek berkata tanaman kopi dipilih berdasarkan hasil kajian pertanian yang mendapati tanah di kawasan Tringgus sesuai untuk tanaman kopi. 

“Kampung Tringgus Bong adalah kumpulan percubaan bagi tanaman kopi ini dan jika hasil bagus akan ada perancangan lanjut daripada kerajaan. 

“Projek ini adalah satu inisiatif yang baik untuk penduduk kerana, pertama boleh membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung. 

“Kedua, tanaman kopi ini boleh menjana pendapatan yang lumayan jika diusahakan secara komersial,” katanya. 

Midia dalam pada itu berharap projek ini akan dapat memberi manfaat dan keuntungan kepada penduduk kampung. 
 

Biji kopi Liberica yang sudah masak dan sesuai untuk dipetik. 
Biji kopi Liberica yang sudah masak dan sesuai untuk dipetik. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh berkata program ini di bawah Dana Fasilitasi Pertanian (AFF) Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu.  

Katanya seramai 22 peserta dari Kampung Tringgus Bong terlibat dalam projek ini dengan keluasan tanah dalam 70 ekar. 

Projek ini menurut Miro akan menjadi model penting untuk menjadikan kawasan sekitar Tringgus sebagai pengeluar kopi di masa akan datang. 

Dalam pada itu, tanaman kopi mempunyai prospek yang cerah di negara berdasarkan peningkatan permintaan terhadap pelbagai produk nilai tambah kopi. 

Produk-produk yang dihasilkan termasuk produk minuman, produk makanan seperti kek, biskut, roti, aiskrim, gula-gula, coklat, jeli serta kegunaan lain seperti pewarna, perasa, ramuan perapan daging, peneutral bau, pewangi bilik, lilin dan produk kosmetik. 

Biji kopi yang telah diproses.
Biji kopi yang telah diproses.

Selain itu, kopi juga mempunyai kebaikan tersendiri dimana minuman kopi dapat meningkatkan metabolisma badan, meningkatkan daya tumpuan, antioksidan membantu membina otot dan memperbaiki daya ingatan. 

Di Malaysia, kawasan tanaman kopi adalah seluas 2,587.5 hektar dengan kawasan tuaian 2,076.2 hektar mengeluarkan 8,109.2 tan atau 3.9 tan per hektar. 

Manakala di Sarawak, 20.7 tan metrik kopi dikeluarkan pada 2017 dengan keluasan kawasan tanaman 247.0 hektar dan meningkat kepada 268 hektar pada tahun 2018. 

  • oleh
  • Advertisement