Anda di sini

PN Sarawak hargai pendirian GPS

Advertisement
 

KUCHING: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sarawak, Senator Jaziri Alkaf (gambar) berkata beliau menghargai dan berterima kasih kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana telah mengambil pendirian untuk terus menyokong kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi (Dr) Abang Johari Tun Openg, bersama ahli-ahli parlimen GPS, yang telah mengambil pendirian untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya turut berkongsi pandangan dan persetujuan sama dengan GPS yang menyifatkan keputusan Perdana Menteri untuk mengusulkan undi percaya terhadap dirinya pada sidang Parlimen bulan depan, sebagai satu tindakan berani, bijak serta langkah terbaik menyelesaikan kemelut politik yang  melanda dengan berlandaskan Perlembagaan negara," katanya.

Jaziri berkata pendirian GPS yang menyifatkan tindakan mengheret rakyat dalam krisis politik dan cubaan menumbangkan kerajaan ketika rakyat dan negara sedang berdepan ancaman pandemik COVID-19 menunjukkan kepimpinan berjiwa besar Abang Johari yang Ketua Menteri Sarawak.

Beliau berkata Abang Johari bersama barisan kepimpinannya mempertahankan hak dan keselamatan rakyat dalam segala tindak tanduknya terutama ketika pandemik ini.

"Matlamat dan keutamaan rakyat perkara yang dikongsi bersama oleh PN dan GPS dalam menangani masalah pandemik, selain usaha secara bersungguh-sungguh mempercepatkan proses vaksinasi serta memulihkan ekonomi negeri dan negara melalui agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang kini sedang rancak dilaksanakan.

"Oleh itu saya turut sama berharap agar semua Ahli Parlimen dapat bersikap rasional demi rakyat dan menyelesaikan masalah pandemik secara bersama serta menghentikan dahulu politiking kerana mereka boleh menentukan pendirian masing-masing sama ada mahu menyokong atau tidak usul percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat bulan depan," ujarnya.

Oleh itu, beliau mengajak semua pihak berdia dan berusaha agar negara dilindungi daripada musibah berterusan pandemik COVID-19 serta keadaan politik juga ekonomi kekal stabil.

"Bersama-samalah kita berdoa dan berusaha agar negara kita dilindungi daripada musibah berterusan akibat pandemik COVID-19 serta keadaan politik dan ekonomi negara di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal stabil, kukuh dan harmoni demi untuk seluruh rakyat Malaysia amnya dan rakyat Sarawak khususnya," katanya.

Pada Sabtu, Setiausaha Agung GPS Dato Sri Alexander Nanta Linggi menerusi kenyataan berkata ahli-ahli parlimen GPS kekal menyokong kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Nanta berkata sokongan ini dinyatakan dalam perjumpaan bersama Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Sabtu.

Dalam perjumpaan di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, GPS menurut Nanta turut menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya pentadbiran kerajaan hari ini diteruskan sehingga diabsahannya ditentukan pada sidang Parlimen bulan depan. 

GPS katanya turut menyifatkan keputusan Perdana Menteri untuk mengusulkan undi percaya terhadap dirinya pada sidang Parlimen bulan depan sebagai satu langkah berani dan bijak serta pendekatan terbaik berlandaskan perlembagaan. 

“Tindakan mengheret rakyat dalam krisis politik dan cubaan menumbangkan kerajaan dalam keadaan rakyat dan negara sedang berdepan ancaman pandemik COVID-19, hanya akan menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat. 

“Keutamaan GPS ketika ini adalah rakyat dan menangani masalah pandemik, mempercepatkan proses vaksinasi serta memulihkan ekonomi negeri dan negara,” katanya. 

  • oleh
  • Advertisement