Anda di sini

Idris Jusoh sokong Muhyiddin, banyak bantu warga FELDA

Advertisement
 

JERTIH: Ahli Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh (gambar) menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang juga Pengerusi Felda berkata, pada masa rakyat sengsara dengan isu COVID-19, sebolehnya tiada pihak yang bermain politik, sebaliknya terus membantu rakyat, tingkatkan vaksinasi dan pulihkan ekonomi.

“Untuk kebaikan rakyat dan tidak banyak berpolitik, saya membuat keputusan untuk menyokong kerajaan sedia ada di bawah kepimpinan Muhyiddin. 

“Sekarang kita berada bersama-sama dalam kerajaan. Pemimpin UMNO telah diberi pengiktirafan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dilantik Menteri-menteri kanan kerajaan. Kebolehan pemimpin UMNO inilah menyebabkan ramai ahli UMNO bersyukur dan turut sama dibantu kerajaan,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp pada Khamis.

Idris berkata Muhyiddin juga telah banyak berjasa membantu warga FELDA iaitu bermula dengan bantuan sukuk bernilai RM9.9 billion, diikuti pula dengan meluluskan penghapusan hutang berjumlah RM8.3 billion.

Selain itu, Idris juga berpendapat, masa depan UMNO akan menjadi lebih baik jika UMNO bersama-sama dengan kerajaan sekarang, di bawah kepimpinan Muhyiddin.

Beliau berkata kerajaan PN tentunya tidak maksum namun bagi mengelak mudarat yang lebih besar, ia adalah pilihan yang lebih baik, malah beliau menyeru agar UMNO mempertingkatkan tingkatkan solidariti dalam kalangan ahli. - BERNAMA

Advertisement