Anda di sini

STAR kekal sokong Muhyiddin, minta pembangkang hentikan mainan politik

Advertisement
JEFFREY
JEFFREY

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tetap teguh dengan pendirian untuk terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden STAR Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan berkata, mengikut perlembangaan, Muhyiddin masih Perdana Menteri yang sah walaupun terdapat banyak tekanan untuk memaksanya berundur.

Menurutnya, semua Ahli Parlimen berpeluang untuk menentukan kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri apabila Parlimen bersidang semula pada September depan.

Sehubungan itu katanya, STAR kekal dengan pendirian menyokong Muhyiddin yang masih sah sebagai Perdana Menteri.

"Sementara itu, tuduhan-tuduhan yang mengatakan beliau menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong adalah tidak berasas dan sangat mengganggu pada saat kita semua sepatutnya bekerjasama, baik kerajaan mahupun pembangkang untuk memerangi COVID-19," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, gangguan politik yang berterusan menjejaskan usaha kerajaan untuk menghentikan penyebaran COVID-19 sekali gus melemahkan usaha melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti yang dijadualkan.

Katanya, hampir 20,000 kes COVID-19 dikesan di Malaysia dan jumlah kes dijangka akan terus meningkat dalam beberapa minggu mendatang.

"Lebih menyedihkan saya, selama empat hari persidangan Parlimen, pembangkang berkeras untuk bermain politik tetapi tidak menyumbang apa-apa dalam usaha memerangi COVID-19.

"Apa yang kita perlukan sekarang adalah komitmen tidak berbelah bagi kerajaan untuk memastikan Malaysia berada di landasan yang betul dalam memulihkan ekonomi demi kebajikan rakyat," katanya.

Jeffrey berkata, pembangkang harus memberikan kerajaan peluang untuk melaksanakan PPN terlebih dahulu.

  • oleh
  • Advertisement