Anda di sini

Sarawak mampu capai imuniti kelompok seawal pertengahan Ogos - KM

Advertisement
Abang Johari menyaksikan proses pemberian vaksin oleh pegawai Perkhidmatan Kesihatan ATM kepada salah seorang penerima.
Abang Johari menyaksikan proses pemberian vaksin oleh pegawai kesihatan ATM kepada salah seorang penerima.

SIBU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini meluahkan keyakinan bahawa Sarawak mampu mencapai imuniti kelompok pada pertengahan bulan Ogos atau September ini.

Abang Johari berkata, keyakinan itu berdasarkan pencapaian pemberian vaksin COVID-19 kepada rakyat negeri ini yang turut mendapat bantuan dan kerjasama semua pihak, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta sambutan rakyat terhadap program tersebut.

Katanya, beliau sangat berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan program pemberian vaksin di Sarawak yang mendahului negeri-negeri lain.

Memetik statistik pemberian vaksin di bahagian Kapit, beliau berkata bahagian ini telah melebihi sasaran 80 peratus dengan mencapai 84 peratus pemberian dos kedua.

"Ini merupakan pencapaian yang amat memberangsangkan walaupun keadaan di kawasan Kapit amat mencabar dari segi bentuk muka bumi dan taburan penduduk yang berselerak," katanya ketika berkunjung ke sebuah perkampungan kaum Kenyah di Long Singut di Hulu Baleh, Kapit. 

Program pemberian vaksin di perkampungan tersebut dikendalikan oleh pihak ATM dengan kerjasama pelbagai pihak, khususnya pihak pentadbiran bahagian Kapit.

Seramai 178 orang penerima vaksin COVID-19 di penempatan tersebut.

Hadir sama dalam lawatan itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Panglima Medan Timur Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad. 

Terdahulu, Abang Johari diberi taklimat mengenai perkembangan di penempatan tersebut termasuk isu-isu mengenai kemudahan infrastruktur, kerakyatan penduduk dan program pemberian vaksin. 

Abang Johari juga meluluskan peruntukan untuk projek pembinaan jalan bersimen, gereja dan dewan bagi perkampungan tersebut.

  • oleh
  • Advertisement