Anda di sini

Rogol teman wanita bawah umur tujuh hari berturut-turut, mekanik dipenjara sembilan tahun

Advertisement
Tertuduh (dua kiri) dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan dikenakan satu sebatan bagi setiap pertuduhan merogol teman wanita bawah umur.
Tertuduh (dua kiri) dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan dikenakan satu sebatan bagi setiap pertuduhan merogol teman wanita bawah umur.

KUCHING: Seorang mekanik jentera berat dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan dikenakan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana merogol teman wanita berumur 13 tahun, selama tujuh hari berturut-turut.

Terdahulu pada 1 Julai, Mohamad Radzuan Saadi berasal dari Kota Samarahan itu mengaku bersalah sebaik kesemua tujuh pertuduhan dibacakan terhadapnya, mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Justeru, Hakim Jason Juga menetapkan hari ini untuk mendengar laporan sosial tertuduh, memandangkan tertuduh masih berusia 20 tahun semasa kejadian dan seterusnya dikategorikan sebagai pesalah muda.

Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mengemukakan laporan sosial pada hari ini bagaimanapun menyerahkan kepada mahkamah dalam menjatuhkan hukum terhadap tertuduh, susulan tertuduh pada bulan ini (Ogos) sudah mencecah usia 21 tahun dan tidak sesuai untuk dihantar ke Sekolah Henry Gurney.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan dikenakan satu sebatan bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya, selain mengarahkan hukuman dijalankan secara serentak.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa antara 16 Jun sehingga 22 Jun lalu.

Kesemua perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh antara jam 6 petang hingga 9 malam di kediaman tertuduh di Batu Kawa.

Menurut laporan terdahulu, mangsa tidak pulang selepas keluar dari rumah untuk mengambil buku tugasan di sekolah pada 15 Jun. 

Bapa mangsa seterusnya membuat laporan polis serta turut berusaha mencari mangsa.

Remaja perempuan itu kemudiannya dikesan pada 23 Jun lalu, di sebuah pusat beli belah di Semariang ketika dia hendak membeli kad sim telefon bimbit sekitar jam 3 petang. 

Mangsa seterusnya diserahkan kepada polis dan kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan kesihatan.

Sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu hanya memberikan rayuan ringkas menyatakan dia menyesali perbuatannya dan menyatakan itu kesalahan pertamanya. 

Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan bagaimanapun memohon agar tertuduh dikenakan hukuman berat dengan mengambil kira faktor usia mangsa dan tertuduh, kepentingan awam, berat kesalahan dilakukan, selain mengambil kira bahawa kes ini tular pada Jun lalu. 

  • oleh
  • Advertisement