Anda di sini

Penunggang motosikal parah rempuh kereta

Advertisement
 Mangsa yang mengalami kecederaan parah akibat kemalangan tersebut.
PARAH: Mangsa yang mengalami kecederaan parah akibat kemalangan tersebut.

TAWAU: Seorang pelajar lelaki yang menunggang motosikal parah selepas merempuh sebuah kereta di jalan Dunlop, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas dalam kenyataan medianya berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 8.05 malam.

“Siasatan polis mendapati, kejadian berlaku ketika kereta yang dipandu lelaki berumur 44 tahun bergerak melalui susur tengah menuju ke jalan Dunlop dan secara tiba-tiba keluar simpang.

“Pada masa yang sama, datang sebuah motosikal yang ditunggang pelajar berumur 17 tahun di lorong sebelah kiri telah bergerak secara lurus lalu merempuh kenderaan berkenaan,” katanya.

Katanya, ekoran rempuhan itu, penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah patah paha kanan dan pendarahan di kepala.

“Dia dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Tawau menggunakan ambulan dan keadaannya dilaporkan kritikal.

“Pemandu dan penumpang kereta itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan manakala kenderaanya hanya rosak di bahagian pintu dan pecah cermin belakang,” katanya.

Peter berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca dari pemandu kereta yang cuai semasa keluar simpang.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement