KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memiliki harta curi berupa sebuah motosikal.
Tertuduh, Mohd Shafarrizan Mohd Yusri Salleh, 28, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.
Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa memiliki sebuah motosikal curi milik seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun pada 31 Julai lalu, jam lebih kurang 7.30 malam di Jalan Ang Cheng Ho, di sini.
Berdasarkan keterangan kes, pada 24 Oktober 2020, pengadu (mangsa) kes ini mendapati motosikal miliknya yang diletakkan di Jalan India di sini, telah hilang.
Mangsa seterusnya membuat laporan polis, sehingga membawa kepada penangkapan tertuduh pada 31 Julai lalu.
Pengadu dilaporkan berjaya mengecam motosikal miliknya berdasarkan rupa bentuk motosikal dari set hadapan dan juga jenama logo di meter kenderaan tersebut.
Difahamkan, tertuduh mengatakan dia tidak mengetahui bahawa motosikal tersebut merupakan harta curi dan telah membelinya daripada seorang lelaki tidak dikenali dengan harga RM600.
Anggaran kerugian dilaporkan berjumlah RM5,000.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.