Anda di sini

Lelaki tempatan ditahan disyaki seludup rokok dari negara jiran

Advertisement
 Suspek yang disyaki menyeludup rokok dari negara jiran itu berjaya ditahan dalam serbuan tersebut.
TANGKAPAN: Suspek yang disyaki menyeludup rokok dari negara jiran itu berjaya ditahan dalam serbuan tersebut.

TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan disyaki menyeludup rokok yang tidak lulus kastam dalam satu serbuan di kawasan Felda Tengah 01, di sini awal pagi hari ini.

Serbuan dilakukan kira-kira jam 1.15 pagi oleh sepasukan anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di sebuah rumah kongsi pekerja di kawasan tersebut.

Komander ESSCom, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata pihaknya menerima maklumat awam mengenai kegiatan yang dijalankan oleh suspek.

“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota keselamatan diketuai ESSCom membuat serbuan terhadap rumah suspek.

“Pasukan keselamatan mendapati terdapat  seorang lelaki berumur 16 tahun berada di dalam rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, pasukan keselamatan telah menjumpai sebuah kotak berwarna coklat disembunyikan di bawah tangga dapur rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut, di dalam kotak tersebut mengandungi 20 karton rokok dianggarkan bernilai RM1,000 disyaki diseludup dari negara jiran.

“Rokok berkenaan dipercayai untuk dijual dan dipasarkan di kawasan Felda Kalabakan dan sekitarnya,” katanya.

Menurutnya, suspek dan barang rampasan berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Ahmad Fuad berkata ESSCom sentiasa mengatur gerak operasi keselamatan di kawasan daratan dan laut bagi mencegah serta membanteras aktiviti kemasukan pendatang tanpa izin (PTI).

“Pasukan keselamatan juga akan memantau pergerakan kegiatan Kidnapping For Ransom Group (KFRG) yang dilihat menjadi ancaman keselamatan kepada negeri ini.

Operasi seumpama ini akan sentiasa digerakkan 24 jam tanpa henti dengan kerjasama dan sokongan semua pasukan keselamatan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone),” katanya.

  • oleh
  • Advertisement