Anda di sini

Kes bergejala dikesan meningkat di Sabah

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Peningkatan jumlah kes bergejala atau dikenali kes sporadik dikesan tinggi di kawasan bandar yang menyumbang sebanyak 251 kes iaitu 24 peratus daripada jumlah kes baharu hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, analisa data menunjukan peratusan kes bergejala agak tinggi di Kota Kinabalu, Tawau, Penampang, Tuaran, dan Sandakan.

Katanya, kes bergejala di Kota Kinabalu dikesan sebanyak 83 daripada 239 kes, di Tawau 37 daripada 137 kes, Penampang 27 daripada 106 kes, Sandakan 19 daripada 62 kes, dan Tuaran 27 daripada 114 kes.

"Sabah merekodkan 1,062 kes baharu hari ini dengan jumlah tertinggi di Kota Kinabalu 239 kes, Tawau 137 kes, Tuaran 114 kes, Penampang 106 kes, Tongod 65 kes, dan Sandakan 62 kes.

"Daerah Keningau merekodkan 39 kes, Sipitang 28 kes, Papar dan Kota Belud masing-masing 25 kes, Putatan 24, manakala Kinabatangan dan Beaufort masing-masing 22 kes, dan Telupid  serta Kudat masing-masing 20 kes.

"Dua daerah merekodkan 19 kes iaitu Kunak dan Ranau 19, diikuti Kalabakan 17 kes, Beluran 14 kes, Lahad Datu 12 kes, Tenom  sembilan, Semporna lapan, Pitas lima, Kuala Penyu empat, Kota Marudu, tiga, serta Nabawan dan Tambunan masing-masing dua kes," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, tiada kluster baharu dilaporkan semalam dan kontak rapat terus menjadi penyumbang utama kepada jumlah kes harian di Sabah.

Selain itu jelasnya, Sabah berkeupayaan untuk memberi vaksin sehingga 60 ribu dos sehari dengan syarat bekalan vaksin yang diperlukan tersedia dan tidak ada gangguan kepada jadual penghantaran ke Sabah.

"Atas andaian bekalan vaksin yang mencukupi terjamin, mengikut perancangan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) boleh mengekalkan momentum melaksanakan pemberian vaksin dengan kadar yang cepat seperti sekarang.

"Ini bermakna 60 peratus penduduk Sabah yang perlu divaksin boleh memperolehi vaksin penuh (dua dos) menjelang 21 September 2021," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement