Anda di sini

Jangan lakukan pembakaran terbuka - NREB

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUCHING: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak mengingatkan penduduk tempatan serta semua industri yang beroperasi di Sarawak agar tidak melakukan pembakaran terbuka. 

NREB dalam satu kenyataan hari ini berkata, penduduk tempatan dan pihak industri terutamanya sektor pertanian sebaliknya disaran untuk mengamalkan operasi “sifar pembakaran terbuka”. 

“Penduduk tempatan dan pihak industri terutamanya sektor pertanian juga disaran untuk menggunakan kaedah-kaedah yang lebih mesra alam seperti “composting”, “mulching” dan lain-lain bagi tujuan pelupusan sisa bio-mass tumbuhan dan pembukaan tanah,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.

Jelasnya, pembakaran terbuka adalah penyumbang utama terhadap kemerosotan kualiti udara di Sarawak yang boleh memudaratkan kesihatan awam serta boleh menjejaskan ekonomi Negeri.
 
“Sehubungan itu, pihak yang menyebabkan atau melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 30(1)(a) dan 30(2) Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar, 2019.

“Seksyen berkenaan memperuntukkan denda maksimum RM100,000 dan penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dengan kompaun sebanyak RM1,000 bagi setiap hari berlakunya pembakaran terbuka tersebut, jika disabit kesalahan,” tegasnya lagi.

NREB juga mengingatkan orang ramai bahawa usaha membenteras dan memberhentikan pembakaran terbuka adalah tanggungjawab bersama semua pihak. 

Justeru, NREB merayu agar aktiviti atau insiden pembakaran terbuka dilaporkan dengan kadar segera ke Pejabat-pejabat NREB berdekatan atau Whatsapp Hotline NREB di 013-7595866. 

Kerahsiaan laporan adalah dijamin menurut peruntukkan Seksyen 38: Perlindungan Kerahsiaan Pemberi Maklumat, Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar, 2019.

Dalam pada itu, rekod pemantauan NREB mendedahkan sebanyak 252 titik panas (hotspot) dikesan dari Januari sehingga Julai 2021, berbanding 201 titik panas pada tahun 2020 dan 280 pada tahun 2019 bagi tempoh yang sama. 

Bilangan ini katanya, dijangka akan terus meningkat jika keadaan cuaca panas dan kering berterusan sehingga pertengahan September nanti.
 
Bagaimanapun, tiada hari yang mencatatkan bacaan IPU pada Kategori Tidak Sihat di Sarawak dari Januari sehingga Julai 2021 di mana kualiti udara adalah pada paras di antara Kategori Baik dan Kategori Sederhana.

  • oleh
  • Advertisement