Anda di sini

COVID-19: Lima lagi kluster komuniti diisytihar di Sarawak 

Advertisement
 

KUCHING: Lima kluster baharu melibatkan jangkitan dalam komuniti diisytihar di Sarawak hari masing-masing dua di Kuching dan Lundu serta satu di Tatau. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berkata dua kluster di Kuching ialah Kluster Kampung Seratau dan Kampung Bintawa Ulu. 

Dua kluster di Lundu ialah Kluster Kampung Sebat Melayu dan Kampung Pueh manakala di Tatau ialah Kluster Nanga Serenggas. 

“Kluster Kampung Seratau dikesan melibatkan sebuah kampung di bawah lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Batu 15, Jalan Kuching-Serian di sini. 

“Seramai 1,084 individu disaring di bawah kluster ini dimana 352 individu didapati positif, 372 individu negatif dan 360 individu menunggu keputusan. 

“Manakala Kluster Kampung Bintawa Ulu juga dikesan melibatkan sebuah kampung di bawah PKPD di kawasan Bintawa di Petra Jaya dimana 125 individu disaring dengan 72 individu didapati positif dan 53 individu negatif,” katanya. 

Bagi Kluster Kampung Sebat Melayu pula ia dikesan melibatkan sebuah kampung yang terletak di Jalan Lundu-Sematan dimana 141 individu disaring dengan 39 daripadanya didapati positif dan 102 individu negatif. 

Kluster Kampung Pueh pula dikesan melibatkan sebuah rumah panjang yang juga terletak di Jalan Lundu-Sematan. 

Seramai 25 individu disaring di bawah kluster ini dimana 12 orang didapati positif dan 13 individu lagi didapati negatif. 

Mengenai Kluster Nanga Serenggas, ia dikesan melibatkan sebuah rumah panjang di bawah PKPD di Nanga Serenggas, Ulu Anap di Tatau. 

Seramai 63 individu disaring di bawah kluster ini dimana 19 individu didapati positif dan 44 individu lagi menunggu keputusan ujian makmal. 

JPBNS turut memaklumkan empat kluster ditamatkan selepas sifar kes baharu dikesan atau dilaporkan dalam tempoh 28 hari yang lepas. 

Kluster tamat ialah Kluster Sungai Kotak di Meradong, Kluster Tanjong Lelengau di Pakan, Kluster Luteng di Telang Usan dan Kluster Blimbing di Bau. 

Jumlah kluster aktif di Sarawak setakat ini ialah 90 kluster dengan 20 kluster merekodkan penambahan 261 kes baharu hari ini. 

  • oleh
  • Advertisement