Anda di sini

Usul undi percaya, Abang Johari sifatkan tindakan berani dan disokong GPS

Advertisement
 

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong tindakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membawa usul undi percaya ke atasnya di Parlimen September depan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (gambar) berkata Muhyiddin telah mengambil pendekatan yang amat bijak dan berani iaitu untuk menentukan sokongan Ahli Parlimen, usul undi percaya harus dibawa ke Parlimen.

Beliau berkata usul itu adalah untuk bagi menentukan sama ada beliau benar-benar mempunyai atau mendapat keyakinan dan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen atau sebaliknya.

Ujarnya lagi tindakan Muhyiddin itu jelas mengikut Perlembagaan Persekutuan dan ia hendaklah diputuskan di Dewan Rakyat.

"Kamu tidak boleh mengandaikan yang kamu mendapat sokongan majoriti. Dalam hal ini kita (GPS) menyokong pendirian Perdana Menteri untuk membawa usul (undi percaya ke atasnya) kepada Dewan dan meyakinkan sama ada beliau mempunyai sokongan majoriti atau tidak.

"Saya rasa itulah keputusan yang baik untuk negara kita. Ini satu pendekatan yang berani kerana kalau tidak ada sokongan beliau perlu berdepan akibatnya," ujarnya katanya kepada pemberita pada Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 seterusnya mengumumkan BKSS 7.0 di sini hari ini.

Abang Johari berkata ketika ini perkara yang penting ialah rakyat, malah penggal Dewan Rakyat akan berakhir kurang dua tahun dari sekarang, justeru pihak terbabit sepatutnya menunggu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan untuk berusaha mengambilalih pucuk pentadbiran negara.

"Kenapa perlu 'bertelagah' seperti ini? Inilah pendirian kita GPS dan kita rasa berkehendakkan kerajaan yang tidak terumbang-ambing, rakyat gelisah," ujarnya. 

Abang Johari menambah, bagi GPS sekarang ialah penekanan utama ialah Malaysia mesti mempunyai kerajaan yang stabil kerana negara masih berdepan masalah COVID-19.

Terdahulu Muhyiddin dalam perutusan khasnya hari ini memaklumkan satu usul undi percaya kepada beliau akan dibentang di Parlimen ketika Parlimen bersidang September depan.

"Melalui cara ini kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement