Anda di sini

Sarawak tiada perancangan adakan persidangan DUN hibrid - Speaker DUN

Advertisement
Asfia pada sidang media di DUN, hari ini. - Gambar oleh Roystein Emmor
Asfia pada sidang media di DUN, hari ini. - Gambar oleh Roystein Emmor

KUCHING: Sarawak tiada rancangan untuk mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara hibrid.

Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar berkata, pengenalan sistem hibrid ke DUN Sarawak hanya akan menyebabkan teknikal.

Malahan katanya peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Negeri, prosedur praktikal dan peraturan Perintah Tetap, peruntukan Ordinan 2007 Dewan Undangan Negeri (Hak Istimewa dan Kuasa) mesti dipatuhi dengan ketat.

"Semua perdebatan dan undi Ahli Yang Berhormat (ADUN) mesti dilakukan di dalam DUN. 

"Sebarang pelanggaran peraturan dan prosedur ini akan mengakibatkan undi terbatal dan ucapan diberikan yang tidak menurut kekebalan Parlimen, boleh menyebabkan perdebatan umum," katanya pada sidang media yang dihadiri Timbalan Speaker DUN Datuk Gerawat Gala di DUN di sini, hari ini.

Asfia berkata malahan perkara berkenaan akan mengekang kebebasan bersuara dan boleh menyebabkan perdebatan umum yang melibatkan undang-undang fitnah.

Beliau berkata bahawa peruntukan dalam Ordinan Perintah Tetap dan DUN (Hak Istimewa dan Kuasa) 2021 adalah khusus untuk melindungi ahli yang menyampaikan ucapan di dalam DUN dan bukan di luar kawasan DUN.

"Kekebalan Parlimen yang diperuntukkan di bawah Artikel 63 Perlembagaan Persekutuan harus dibaca bersama dengan Artikel 25 Perlembagaan Negeri Sarawak.

"Kebebasan bersuara dan hak istimewa untuk berucap dalam Dewan dan ucapan sedemikian adalah mengurangkan liabliti dan litigasi seperti yang termaktub dalam Seksyen 3 (Kebebasan Bersuara dan Perbahasan) Ordinan DUN, 2007," katanya.

Asfia menegaskan bahawa apa sahaja yang dikatakan atau tindakan yang dibuat oleh ahli di luar kawasan Dewan tidak akan mendapat perlindungan Parlimen.

Sementara itu, berhubung penggal DUN Sarawak berakhir pada 6 Jun 2021, Asfia berkata, dari 7 Jun 2021 hingga 1 Ogos 2021, DUN yang sepatutnya berakhir tetapi masih lagi berfungsi di bawah Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 15 (1)(b) dibawah Proklamasi Darurat sebelum ini.
 
Beliau berkata dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) Sarawak 2021 terkini, DUN juga masih berfungsi dari 2 Ogos 2021 hingga 2 Februari 2022.

Tambahan kata beliau di bawah Seksyen 4 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 yang melarang sebarang persidangan DUN.

Mengenai Belanjawan Negara tahun 2022,  yang perlu mendapatkan persetujuan dari Dewan Undangan Negeri beliau berkata ia adalah tidak penting. 

Katanya ia dinyatakan dengan jelas dalam Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021.

Advertisement