Anda di sini

Lebih RM800 juta untuk BKSS 7.0 - Ketua Menteri

Advertisement
Abang Johari secara simbolik menyerahkan insentif khas kepada wakil petugas barisan hadapan. - Gambar ihsan Pejabat Ketua Menteri
Abang Johari secara simbolik menyerahkan insentif khas kepada wakil petugas barisan hadapan. - Gambar ihsan Pejabat Ketua Menteri

KUCHING: Kerajaan negeri bakal membelanjakan lebih RM800 juta bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 7.0 yang dilancarkan hari ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata BKSS 7.0 untuk memperkasakan aktiviti perusahaan dan perniagaan dalam keadaan yang sihat.

Beliau berkata di bawah BKSS 7.0 kerajaan negeri akan melaksanakan tiga langkah bagi memulihkan aktiviti perusahaan dan perniagaan yang terjejas teruk akibat pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Beliau berkata negara kini telah memasuki Pelan Pemulihan Nasional (PPN), sebahagian besar perniagaan dan perusahaan akan dibuka secara perlahan-lahan dengan prosedur  operasi standard (SOP) dikemas kini oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan berkata langkah pertama diambil di bawah BKSS 7.0 ialah menyediakan bantuan kewangan khas sekali beri sebanyak RM10,000 kepada perniagaan yang aktif di negeri, berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat 31 Disember 2020.

Menurutnya bantuan itu akan memanfaatkan hampir 40,000 perniagaan yang aktif di seluruh Sarawak melibatkan perbelanjaan langsung kerajaan negeri lebih RM400 juta.

Beliau berkata bantuan khas itu akan dibayar dua kali iaitu RM5,000 pada September 2021 dan baki RM5,000 lagi pada Disember 2021.

"Kita telah menerima permintaan daripada persatuan-persatuan dan persekutuan-persekutuan perniagaan agar bantuan kewangan diberikan bagi membantu mereka mengekalkan perniagaan terutama menanggung kos operasi termasuk sewa serta gaji para pekerja lebih-lebih lagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Simbolik Penyerahan BKSS 6.0 dan seterusnya pengumuman BKSS 7.0 di sini, hari ini.

Abang Johari berkata langkah kedua di bawah BKSS 7.0 ialah kelonggaran dasar perolehan kerajaan dalam usaha membantu sektor pembinaan di negeri ini.

Beliau di bawah langkah kedua itu, antara lain kontraktor akan diberi memberi Lanjutan Tempoh Masa (EOT) secara automatik dengan mengambil kira kesanPKP 3.0 berdasarkan tempoh PKP diwartakan bagi projek sedang dibangunkan dengan tempoh siap tidak dalam tempoh PKP 3.

Projek yang tarikh siap dijadualkan berakhir dalam tempoh PKP 3.0 yang akan diberikan EOT maksimum 60 hari, tambahnya.

"Kita juga membenarkan Variasi Harga untuk kerja-kerja kontrak kerajaan disebabkan kenaikan harga yang ketara bahan binaan tertentu kesan global pandemik COVID-19.

"Kerajaan Sarawak dianggar menanggung kos sekitar RM400 juta bagi tujuan ini," jelasnya.

Mengenai langkah ketiga, Abang Johari memberitahu kerajaan akan melonggarkan syarat pembaharuan permit pekerja asing bagi sektor pertanian, perlombongan pembinaan dan perkhimatan.

"Memandangkan wujud keperluan memastikan ekonomi terus bertahan semasa pandemik, kerajaan akan memberi sokongan kepada perniagaan yang memerlukan tenaga kerja asing dengan melonggorkan syarat pembaharuan permit kerja tertakluk kepada lesen buruh yang sah bagi sektor peladangan sehingga 31 Disember 2022 .

"Ini akan diperluaskan kepada semua sektor, iaitu pertanian, perlombongan, pembinaan dan perkhidmatan," ujarnya .

Terdahulu Abang Johari memaklumkan kerajaan negeri telah melaksanakan enam pakej  BkSS merangkumi 30 langkah dan tindakan bernilai RM4.5 bilion sejak April 2020.

Beliau berkata antara langkah yang telah dan sedang dilaksanakan ialah BKSS B40 ketua isi rumah (KIR) dan individu bujang, pemberian diskaun bil elektrik, air dan taksiran kadar cukai pintu dan tanah, bantuan kepada perusahaan dan perniagaan seperti skim pinjaman dan program latihan termasuk insentif bulanan khas dan bekalan makanan untuk petugas barisan hadapan.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian; Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion.
 

  • oleh
  • Advertisement