Anda di sini

Lama dinanti, Muzium Budaya Borneo diharap dapat dirasmi tahun ini 

Advertisement
Abdul Karim (tiga kanan) melihat senibina dan pameran sementara di Bangunan Lama Muzium Sarawak sempena sambutan ulang tahun ke-130 Muzium Sarawak hari ini. - Gambar oleh Chimon Upon
Abdul Karim (tiga kanan) melihat seni bina dan pameran sementara di bangunan lama Muzium Sarawak sempena sambutan ulang tahun ke-130 Muzium Sarawak hari ini. - Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Muzium yang lama dinantikan, Muzium Budaya Borneo diharap dapat dirasmikan pembukaannya tahun ini, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. 

Dibangunkan di bawah projek Kampus Muzium Sarawak, muzium ini bakal menjadi muzium kedua terbesar di Asia Tenggara sebaik dibuka kepada umum kelak. 

“Saya sendiri juga masih menunggu bila muzium ini akan dibuka dan berharap ia dapat dirasmikan tahun ini selepas beberapa kali tertangguh,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ke-130 Tahun Muzium Sarawak di bangunan lama Muzium Sarawak di sini, hari ini. 

Tambah Abdul Karim bagi Natural History Museum yang sedang giat dinaik taraf kini katanya berkemungkinan tidak dapat dirasmikan tahun ini dan akan dibawa ke tahun depan. 

Katanya kerja-kerja susunan koleksi artifak nampak mudah tetapi realitinya ia mengambil masa yang lama kerana setiap susunan perlu dibuat secara teliti mengikut kronologi sejarahnya. 

“Kita juga bakal mewujdudkan beberapa buah muzium lain seperti Muzium Maritim yang dahulunya dikenali sebagai Brooke Dockyard, Muzium-Muzium Warisan di Kubu Lily di Betong, Kubu Emma di Kanowit, Kubu Brooke di Julau, Kubu Hose di Marudi dan Taman Arkeologi Santubong. 

“Dengan adanya muzium-muzium yang bakal dibuka ini kelak, kita berharap dapat menyediakan tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi pelawat dan pelancong di masa-masa akan datang,” katanya. 

Terdahulu dalam ucapannya Abdul Karim berkata pelancongan muzium merupakan industri yang paling pesat membangun dan penyumbang kepada pembangunan sosioekonomi sesebuah negara. 

Di Sarawak katanya, bangunan Muzium Sarawak yang dibina semasa pemerintahan Rajah Charles Brooke dalam tahun 1891 merupakan salah satu ikon negeri ini dan genap 130 tahun usia hari ini. 

Memandangkan kepentingan Muzium Sarawak kepada pembangunan sosioekonomi negeri Sarawak, kerajaan dalam tahun 2015 telah meluluskan sejumlah peruntukan bagi melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan Muzium Sarawak. 

Kerja-kerja pemuliharaan ini katanya disiapkan pada tahun 2020 dan pengisian pameran akan dilakukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). 

Sementara itu Pengarah Muzium Sarawak Tazudin Mohtar berkata sempena sambutan ulang tahun Muzium Sarawak Ke-130, pelbagai acara telah dan bakal dianjurkan untuk orang ramai. 

Antara aktiviti Persidangan Muzium Sarawak 2021 yang baharu sahaja diadakan pada 2 dan 3 Ogos lepas dan Pameran Old Building Special Tour berkaitan sejarah dan seni bina Muzium Sarawak, koleksi semula jadi dan Mural Tree of Life selama empat bulan. 

Turut akan diadakan pameran ‘Sarawak Museum in 130th Special Object’ yang mempamerkan sebanyak 130 koleksi Jabatan Muzium Sarawak secara maya selama setahun dan Pertandingan Menulis Essei dan Foto Telefon Pintar 2021 secara dalam talian. 

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan Hii Chang Kee. 

  • oleh
  • Advertisement