Anda di sini

Kejayaan tundukkan Sarawak United kemenangan paling mahal

Advertisement
 

KUALA TERENGGANU: Jurulatih Terengganu FC ll (TFC ll), Badrul Afzan Razali menyifatkan kejayaan pasukannya menundukkan Sarawak United 1-0 pada aksi Liga Premier malam tadi sebagai kemenangan paling berharga.

Ia memandangkan kemenangan tersebut bukan sekadar memberi tiga mata berharga buat skuad The Turtles, malah melonjakkan pasukan berstatus 'feeder club' itu ke tangga teratas liga selepas mengumpul 28 mata daripada 14 perlawanan.

Badrul Afzan berkata beliau amat berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang berjuang bermati-matian bagi mendapatkan kemenangan, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah yang dipegang pasukannya sehingga saat ini.

"Kemenangan malam ini paling mahal bagi saya kerana Sarawak United bukan pasukan mudah. Mereka memiliki pemain yang berpengalaman.

"Sebelum perlawanan, saya  ingatkan pemain supaya mereka anggap perlawanan ini perlawanan akhir dan memberi yang terbaik demi tiga mata berharga dan mereka membuktikannya," katanya kepada media selepas perlawanan menentang Sarawak United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini malam tadi.

Walau bagaimanapun, Badrul Afzan berkata beliau tidak mahu pemainnya menganggap mereka sudah berada di kedudukan yang selesa memandangkan mereka masih perlu mengharungi baki enam perlawanan sebelum liga berakhir.

Sementara itu jurulatih Sarawak United, Elavarasan Elangowan berkata beliau menerima kekalahan tersebut dengan terbuka dan masih terlalu awal untuk berputus asa.

Menurut beliau, skuadnya berada di landasan yang betul dan berpeluang berada di tangga teratas liga memandangkan masih terdapat beberapa baki perlawanan sebelum liga berakhir.

"Kami akan buat post-mortem dan perbaiki kesilapan untuk perlawanan akan datang," katanya. - BERNAMA

Advertisement