Anda di sini

JDT kekal penguasaan di persada Liga Super, menang tipis Melaka United 1-0

Advertisement
Antara babak perlawanan antara JDT dan Melaka United pada malam Selasa. - Gambar Facebook Johor Southern Tigers
Antara babak perlawanan antara JDT dan Melaka United pada malam Selasa. - Gambar Facebook Johor Southern Tigers
KUALA LUMPUR: Jaringan penalti Bergson Da Silva seawal minit ke-9 cukup membuatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal di persada Liga Super selepas menewaskan Melaka United 1-0 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam ini.

Anak buah Benjamin Mora dalam momentum mengekalkan rentak kemenangan berterusan mengumpul 42 mata keseluruhan, selesa meninggalkan pencabar pasukan Terengganu FC dengan jurang 11 mata.

Bersambung babak kedua Melaka United masih buntu mencorakkan sebarang serangan mematahkan kubu pertahanan Harimau Selatan sehingga minit-minit terakhir wisel penamat dibunyikan.

Bagi perlawanan berlangsung di Stadium Perak, Ipoh menyaksikan Penang FC menewaskan Perak FC 5-3 dalam aksi kejar-mengejar menyumbat gol.

Gol perlawanan skuad Black Panthers dijaringkan menerusi hatrik Rafael Vitor pada minit pertama, minit ke-8 dan minit ke-28 selain menerusi Casagrande pada minit ke-21 serta Abdul Aziz Rahim pada minit ke-88.

Skuad The Bos Gaurus turut melakar hatrik menerusi Nana Poku pada minit ke-16, dan dua jaringan penalti di minit ke-35 dan ke-58.

Satu lagi aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor FC menang ke atas UiTM FC 2-0 hasil jaringan Sharul Nazeem Zulpakar pada minit ke-27 serta Ifedayo Olesegun pada minit ke-57.

Dalam pada itu aksi tunggal Liga Premier, Terengganu FC II (TFC II) menentang Sarawak United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu berkesudahan dengan keputusan 1-0.

Gol dijaringkan pasukan TFC II pada minit ke-20 oleh pendahulu senarai penjaring terbanyak Liga Premier Jordan Mintah menerusi sepakan penalti.

Kemenangan itu sekali gus berjaya melonjakkan TFC ll ke tangga teratas liga dengan 28 mata. - BERNAMA

Advertisement