Anda di sini

Hukuman kes rogol ditangguhkan, tukang kayu positif COVID-19

Advertisement
 

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menangguhkan kes seorang lelaki tukang kayu yang didapati bersalah merogol anak buahnya susulan tertuduh disahkan positif COVID-19. 

Hari ini tertuduh yang berusia 47 tahun itu sepatutnya mengemukakan rayuan dan bakal dijatuhkan hukum setelah didapati bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan. 

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan. 

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Wit Malang memaklumkan mahkamah yang anak guamnya kini didapati positif COVID-19 dan sedang ditempatkan di pusat kuarantin sehingga 12 Ogos depan.

Sehubungan itu, Hakim Jason Juga menetapkan kes disebut semula pada 30 Ogos ini untuk tertuduh mengemukakan rayuan dan dijatuhkan hukum. 

Terdahulu pada 21 Julai, mahkamah mendapati tertuduh bersalah atas pertuduhan tersebut selepas perbicaraan penuh, susulan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol gadis berusia 12 tahun yang merupakan anak buahnya, di rumah mangsa terletak di sebuah kampung di Bau, pada Februari 2018. 

Menurut laporan terdahulu, ibu mangsa membuat laporan polis susulan terdengar perbualan anak perempuannya yang berusia 13 tahun dan mangsa, berhubung tertuduh dikatakan telah melakukan perbuatan berkenaan terhadap mangsa. 

Difahamkan, tertuduh telah melakukan perbuatan tersebut berulang kali namun mangsa tidak berani untuk memberitahu ibunya kerana tertuduh dikatakan telah mengugutnya. 

Tertuduh seterusnya dilaporkan ditangkap pada sekitar jam 12.45 tengah hari, 5 November 2018 di kediamannya, juga di kampung sama. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan. 

  • oleh
  • Advertisement