Anda di sini

COVID-19: 19,819 kes baharu hari ini, tertinggi sejak pandemik melanda negara - KP Kesihatan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kes baharu COVID-19 melonjak kepada 19,819 kes dalam tempoh 24 jam lepas, tertinggi sejak pandemik itu melanda negara, Februari tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di laman  Facebook berkata perangkaan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 2,714 kes berbanding 17,105 kes direkodkan semalam.

Perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 1,183,110 kes.

Dr Noor Hisham berkata Selangor kekal merekodkan kes harian tertinggi sebanyak 8,377 kes diikuti Kuala Lumpur (2,467); Kedah (1,371); Johor (1,162); Kelantan (1,003) dan Sabah (949).

Pulau Pinang pula mencatat 867 kes, diikuti Negeri Sembilan (800); Perak (662); Pahang (558); Sarawak (552); Melaka (508); Terengganu (481); Putrajaya (46); Perlis (11) dan Labuan (lima). 

"Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosis COVID-19. Ada antara kes kekal pada kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

"Secara keseluruhan, hanya 3,592 kes atau 18.1 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini mempunyai sejarah imunisasi COVID-19," katanya.

Kategori lima ialah kes kritikal dan menggunakan bantuan pernafasan, kategori empat (memerlukan bantuan oksigen), kategori tiga melibatkan radang paru-paru serta kategori dua dan satu masing-masing bergejala ringan dan tiada gejala.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan 1,069 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 553 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. 

Kes sembuh dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas pula adalah 12,704 menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini sebanyak 962,733 kes manakala kes aktif kini 210,522 kes.

Mengenai 35 kluster baharu yang dikesan hari ini, beliau berkata 20 daripadanya melibatkan penularan dalam komuniti, 14 kluster tempat kerja dan satu kluster keagamaan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 (R-naught atau Rt) dalam negara sehingga semalam kekal 1.07.

Beliau berkata negeri yang mencatatkan nilai Rt yang tertinggi ialah Kelantan iaitu 1.31, diikuti Terengganu (1.27) dan Perak (1.24).

"Semua negeri mencatatkan Rt melebihi 1.0 kecuali Negeri Sembilan, Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya. - Bernama 

Advertisement