Anda di sini

Beli loteri haram, lelaki didenda

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki didenda RM2,500 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana membeli loteri awam tanpa lesen.

Tertuduh, Chee Wee Min, 45, mengaku bersalah di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi, sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.  

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa membeli loteri awam tanpa lesen di sebuah premis di Bandar Baru Semariang, kira-kira jam 3 petang pada 23 Mei lalu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, pihak polis menyerbu premis tersebut yang disyaki menjalankan kegiatan menjual judi loteri awam tanpa lesen.

Pihak polis turut merampas dua buah telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM350 disyaki digunakan untuk aktiviti tersebut dan perkara ini kemudiannya disahkan oleh pakar judi. 

Semakan terhadap telefon bimbit tertuduh turut mendedahkan terdapat kandungan mesej membabitkan pembelian loteri awam. 

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement