Anda di sini

Atlet para dari Sarawak diharap membawa pulang pingat untuk negara

Advertisement
Lima atlet para dari Sarawak (dari kiri) Bonnie, Jong, Muhammad Nur Syaiful, Jamery dan Wiro ketika mengikuti Amanat Khas Ketua Menteri menerusi aplikasi Zoom hari ini.
Lima atlet para dari Sarawak (dari kiri) Bonnie, Jong, Muhammad Nur Syaiful, Jamery dan Wiro ketika mengikuti Amanat Khas Ketua Menteri menerusi aplikasi Zoom hari ini.

KUCHING: Lima atlet para dari Sarawak yang beraksi dalam Sukan Paralimpik Tokyo, Jepun diharap dapat membawa pulang pingat buat negara, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Lima atlet para itu ialah Bonnie Bunyau Gustin, 22, Jong Yee Khie, 33 (angkat berat), Muhammad Nur Syaiful Zulkifli, 26, Jamery Siga, 36, (renang) dan Wiro Julin, 17 (memanah).
 
"Saya berharap pada kejohanan ini, salah seorang daripada para atlet kita boleh menjadi rakyat Sarawak pertama memenangi pingat Paralimpik mengikut jejak kejayaan ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg, rakyat Sarawak pertama memenangi pingat dalam Sukan Olimpik.

"Saya difahamkan Pandelela akan beraksi dalam acara penting (di Sukan Olimpik Tokyo) hari ini. Kita mendoakan beliau melakukan yang terbaik untuk negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Khas secara Zoom kepada lima atlet para dari negeri ini yang bakal beraksi dalam Sukan Paralimpik Tokyo, berlangsung mulai 24 Ogos hingga 5 September 2021.

Ketua menteri ketika menyampaikan Amanat Khas menerusi aplikasi Zoom kepada lima atlet para dari Sarawak yang bakal bertarung dalam acara masing-masing di Sukan Paralimpik Tokyo.
Ketua menteri ketika menyampaikan Amanat Khas menerusi aplikasi Zoom kepada lima atlet para dari Sarawak yang bakal bertarung dalam acara masing-masing di Sukan Paralimpik Tokyo.

Abang Johari berkata peluang untuk kedua-dua atlet para angkat berat memenangi pingat dilihat cerah memandang Bonnie dan Jong baharu saja memenangi pingat emas dalam kategori masing-masing di Piala Dunia Powerlifting Fazza ke-11 di Dubai, baru-baru ini.

Abang Johari berkata bagi memenuhi para atlet Sarawak di Tokyo, kerajaan negeri bersetuju memberi elaun RM10,000 sebagai wang saku sebagai tambahan kepada bantuan diberikan kerajaan persekutuan kepada mereka.

Beliau berkata memandangkan atlet-atlet berkenaan kini berada di Tokyo, elaun tersebut akan diberikan apabila mereka pulang ke tanah air.

"Apabila mereka balik ke tanah air nanti mereka boleh menembus semula perbelanjaan sepanjang di sana dan kita akan balik balik, jumlahnya tidak lebih RM10,000," katanya.

Mengenai insentif yang bakal diberikan kepada atlet yang berjaya memenangi pingat dalam kejohanan itu, beliau berkata kerajaan negeri masih belum memutuskan perkara itu.

Sementara itu Abang Johari berkata di bawah pembangunan pasca COVID-19 Sarawak, beberapa pusat latihan sukan yang tidak hanya untuk atlet normal tetapi atlet para akan dibangunkan.

"Ini akan memberi suasana latihan lebih baik kepada para atlet kita dengan harapan mereka juga boleh beraksi cemerlang dalam kejohanan sukan antarabangsa.

"Terima kasih juga kepada jurulatih-jurulatih atlet para kita kerana dengan latihan yang konsisten serta fokus tinggi, saya percaya mereka dapat memberi tumpuan terbaik apabila bertanding dalam mana-mana acara," katanya.

Turut menghadiri majlis Amanat Khas itu Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah serta menteri mudanya, Datuk Francis Harden dan Datuk Rosey Yunus; Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta menteri mudanya, Datuk Snowdan Lawan.

  • oleh
  • Advertisement