Anda di sini

Abdul Karim percaya GPS kekal sokongan terhadap PN, Muhyiddin 

Advertisement
Abdul Karim pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-130 Muzium Sarawak di sini hari ini. - Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah percaya Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan menarik sokongannya terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Tegas Abdul Karim, beliau tidak dapat bercakap bagi pihak GPS, tetapi beliau percaya pemimpin GPS akan bersikap rasional dalam apa jua tindakan dan keputusannya melibatkan soal kepentingan negara. 

“Apabila kita (GPS) memberi sokongan kepada kerajaan PN di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin sebelum ini, ia dibuat atas kepentingan negara. 

“Begitu juga dengan keadaannya kali ini, kita (GPS) tidak lompat sana, lompat sini. Apa yang baik untuk Malaysia kita akan sokong,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-130 Muzium Sarawak di sini hari ini. 

Tambah Abdul Karim, tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin telah banyak kali disuarakan. 

Tetapi katanya sama ada Tan Sri Muhyiddin masih Perdana Menteri atau sebaliknya hanya dapat ditentukan apabila ada perjumlahan sokongan dibuat di Parlimen. 

Perjumlahan sokongan katanya tidak hanya dapat dibuat dengan akuan bersumpah (SD) tetapi perlukan majoriti atau tidak di Parlimen . 

“Tunggu sidang parlimen baru lah kemukakan usul undi tidak percaya. Sekarang semua pemimpin parti politik berebut berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong. 

“Harapan saya, jangan ada pimimpin parti politik yang cuba mengheret Yang di-Pertuan Agong dalam isu-isu politik kerana ia tidak baik untuk Malaysia,” katanya. 

Dalam pada itu UMNO secara rasmi menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin menerusi pengumuman dibuat presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media, petang Selasa. 

Advertisement