Anda di sini

Sarawak negeri kelima tertinggi kes rogol

Advertisement
Fatimah menyampaikan cenderamata kepada Lucas selepas menerima kunjungan hormat hari ini. - Gambar oleh Roystein Emmor
Fatimah menerima cenderamata daripada Lucas dalam kunjungan hormat hari ini. - Gambar oleh Roystein Emmor

KUCHING: Sarawak berada di kedudukan kelima tertinggi di Malaysia bagi kes jenayah seksual (rogol) apabila mencatatkan 67 kes dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini. 

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Dato Sri Fatimah Abdullah, kedudukan tersebut direkodkan dengan menyaksikan Selangor pada kedudukan pertama dengan 168 kes diikuti Kedah (80 kes); Sabah (72 kes) dan Johor (69 kes).

Menurutnya, kes jenayah rogol di Sarawak mengalami peningkatan sebanyak 13.6 peratus apabila tahun lalu hanya 59 kes direkodkan. 

“Daripada jumlah tersebut, 50 kes adalah mereka yang berumur antara 13 hingga 16 tahun; enam kes (0 hingga 12 tahun); lima kes (17 hingga 18 tahun); lima kes (19 hingga 25 tahun) dan satu kes (26 tahun ke atas).

“Dan daripada jumlah (67) kes rogol ini, sebanyak 41 kanak-kanak dilaporkan mengandung dengan 62 peratus melibatkan mangsa perempuan di bawah umur 16 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak ACP Lucas Aket di Bangunan Baitul Makmur II, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, kebanyakan kes rogol yang berlaku itu berpunca daripada kenalan teman lelaki.

“Selain teman lelaki, kebanyakan suspek adalah terdiri daripada orang yang dikenali mangsa seperti kenalan baru (15 kes), bapa kandung (5 kes) dan lain-lain lagi.

“Bagaimanapun, hanya satu kes melibatkan orang yang tidak dikenali,” katanya. 

Sementara itu, bagi kes keganasan rumah tangga (KRT) di Sarawak, Fatimah berkata, terdapat banyak kes dilaporkan dalam tempoh semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding sebelum PKP berdasarkan statistik JSJ Sarawak.

"Jabatan melaporkan sebanyak 755 kes KRT semasa PKP iaitu dari bulan Mac tahun lalu hingga bulan Mac tahun ini.

"Angka tersebut menunjukkan peningkatan 65 kes sepanjang tempoh PKP. Manakala dari Februari 2019 hingga Februari 2020, JSJ Sarawak mencatatkan sejumlah 690 kes KRT," katanya sambil menambah penyalahgunaan dadah dan alkohol antara punca berlakunya KRT.

Melihat kepada statistik itu,  beliau menggesa semua pihak untuk memainkan peranan dan bekerjasama menyumbang kepada usaha dalam menangani kes seumpama ini.

“Dengan input berupa data dan statistik diberikan, kita dapat membangun dan melaksanakan program intervensi sosial secara bersasar ini,” katanya.

Terdahulu, kunjungan hormat itu bertujuan untuk mengukuhkan kolaborasi strategik dan bersepadu antara KWKPK dan JSJ Sarawak.

  • oleh
  • Advertisement