Anda di sini

Penganggur dijel akibat curi dari restoran makanan laut

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencuri barangan seperti bir, telefon pintar, jagung tin dan air minuman dari sebuah restoran makanan laut, pada Mei lalu. 

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali juga menetapkan tertuduh, Tay Choon Nguan, 29, untuk dikenakan denda RM3,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar.  

Tertuduh mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman diperuntukkan, penjara sehingga sepuluh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 

Berdasarkan pertuduhan, lelaki tersebut bersama-sama rakannya, Indraniker Sasus, 31, didakwa mencuri dua buah telefon pintar, lima tin bir, satu botol air minuman dan empat unit jagung dalam tin. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka pada 16 Mei lalu, jam lebih kurang 10.43 malam di sebuah restoran makanan laut terletak di Jalan Stampin Barat, di sini.

Mengikut keterangan kes, dua hari selepas kejadian tersebut, pekerja restoran yang membuka kedai menyedari beberapa barangan di premis tersebut hilang. 

Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh dan rakannya masuk ke restoran dan mencuri barangan tersebut. 

Nilai kerugian dianggarkan berjumlah RM550. 

Sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh merayu agar hukuman penjara dan denda dikurangkan atas alasan dia mempunyai dua orang anak dan seorang ibu untuk ditanggung. 

Dalam pada itu, tertuduh Indraniker yang terlibat sama dalam kes berkenaan dilaporkan gagal hadir ke mahkamah hari ini untuk sebutan kes.

Sehubungan itu, Majistret Syarifah memerintahkan waran tangkap ke atas Indraniker dan mengarahkannya untuk dibawa ke mahkamah semula pada 9 Ogos. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh berasal dari Engkilili itu tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement