Anda di sini

COVID: Singapura catat satu lagi kematian babitkan seorang kru kapal Ukraine

Advertisement
 

Oleh Massita Ahmad

 

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 34 tahun dari Ukraine meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan COVID-19 pada 1 Ogos, menjadikan jumlah korban di Singapura setakat ini 38 orang. 

Kes import 67264 itu melibatkan seorang kru kapal laut yang tiba di Singapura pada 29 Julai, menurut data dikeluarkan Kementerian Kesihatan malam tadi.

Pada 25 Julai lelaki itu dilaporkan demam, batuk dan kelesuan sebelum mengalami sesak nafas pada 31 Julai.

"Dia dibawa ke Hospital Besar Singapura pada 1 Ogos dan disahkan dijangkiti COVID-19 pada hari yang sama," menurut kementerian. 

Kali terakhir kes kematian dilaporkan di Singapura ialah pada 24 Julai, melibatkan seorang wanita tempatan berusia 83 tahun.

Setakat 2 Ogos, jumlah kes di republik itu sebanyak 65,213.

Sejumlah 602 kes masih di rawat di hospital dengan kebanyakannya dalam keadaan sihat dan berada di bawah pemerhatian.

Buat masa ini terdapat 36 kes serius yang memerlukan bantuan oksigen dan tujuh lagi dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU).

Singapura melaporkan 10 lagi kluster baharu pada Isnin menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 93 kluster dengan masing-masing antara tiga dan 1,072 jangkitan.

Setakat Ahad (1 Ogos), sebanyak 62 peratus penduduk Singapura telah lengkap dua dos vaksin COVID-19 manakala dan 77 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos. - Bernama

Advertisement