Anda di sini

Sri Pahang pamer persembahan hambar, banyak bertahan

Advertisement
Pemain Sri Pahang FC Muhd Ashar Al Aafiz Abdullah melakukan aksi akrobatik ketika menentang PJ City FC pada perlawanan Liga Super 2021 di Stadium Darul Makmur malam tadi. - Gambar Bernama
Pemain Sri Pahang FC Muhd Ashar Al Aafiz Abdullah melakukan aksi akrobatik ketika menentang PJ City FC pada perlawanan Liga Super 2021 di Stadium Darul Makmur malam tadi. - Gambar Bernama

KUANTAN: Skuad Sri Pahang FC mempamerkan corak permainan hambar dengan lebih banyak bertahan ketika berdepan PJ City FC dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini malam tadi.

Ketua Jurulatihnya Dollah Salleh berkata corak permainan sedemikian ditonjolkan barisan pemainnya setelah mendahului pada minit ke-15 berkemungkinan disebabkan faktor keletihan selain mahu mengelakkan kekalahan apabila sekadar seri pada dua perlawanan sebelum ini.

Dollah berkata beliau sudah memberikan arahan agar para pemain mempersembahkan corak permainan yang dirancang namun, ternyata ia sukar dizahirkan sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

"Pada minit-minit akhir saya terpaksa akur dengan mentaliti pemain yang ingin beraksi secara bertahan bagi mengekalkan keputusan 1-0 yang memihak kepada kita," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan itu, jaringan tunggal penyerang import Sri Pahang FC Aung Kaung Mann yang menewaskan penjaga gol PJ City Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi pada minit ke-15 kekal  sehingga wisel penamat membolehkan pasukannya mengutip tiga mata.

Dollah juga menegaskan bahawa persembahan kurang baik malam tadi tidak seharusnya diulangi sekiranya pemain mahu mara lebih jauh pada musim ini.

Sementara itu, pengendali PJ City FC P. Maniam mengakui pasukan lawan berhak menang kerana anak buahnya tidak mempamerkan persembahan kemas terutama di bahagian pertahanan.

Maniam berkata perubahan rentak permainan sebenar pasukannya bagaimanapun dapat dilihat pada separuh masa kedua apabila mereka lebih banyak mengatur serangan dan memperoleh tiga peluang bagi mencipta gol, namun gagal membolosi gawang lawan. - Bernama

Advertisement